PRN Melaka: Kekuatan BN Terbukti Melalui Kerja Berpasukan – Rizam

KUALA LINGGI, 11 Nov – Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Rizam Ismail menegaskan bahawa kekuatan Barisan Nasional (BN) tidak seharusnya dinilai berdasarkan calon yang diketengahkan sahaja, tetapi harus mengambil kira keupayaan keseluruhan jentera yang membantu calon- calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar berkata, pendekatan politik khidmat bakti, pengalaman serta kekuatan pasukan merupakan antara asas penting dalam memastikan segala keperluan masyarakat dapat diberikan perhatian secara berterusan.

“BN tidak hanya menawarkan calon, tetapi kita menawarkan kekuatan jentera yang ada di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi. Kita bekerja dalam satu pasukan dan wakil rakyat yang akan diberikan mandat nanti tidak akan bergerak sendirian.

“Calon-calon BN akan dibantu oleh pasukan yang cukup berpengalaman dalam membantu masyarakat, menyelesaikan keperluan setempat serta memastikan perancangan pembangunan dapat diteruskan.

“Inilah yang perlu dilihat oleh masyarakat Kuala Linggi. Jangan hanya melihat siapa calonnya, tetapi lihat juga kekuatan pasukan, pengalaman dan kesungguhan untuk terus memberikan khidmat kepada rakyat,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Mengulas lanjut, kata Exco Kemajuan Desa dan Perpaduan Negeri Selangor, melahirkan kesyukuran melihat momentum gelombang biru di Melaka ini sangat memberangsangkan.

“Alhamdulillah, kita dapat melihat kemaraan gelombang biru yang cukup luar biasa. Ini menunjukkan masyarakat, khususnya rakyat di Melaka, mahu melihat kesinambungan segala usaha dan pencapaian yang telah dilaksanakan.

“BN bukan parti yang hanya datang membawa janji ketika pilihan raya. Kita mahu rakyat melihat sendiri pencapaian, pengalaman dan khidmat yang telah diberikan kepada masyarakat,” katanya lagi.

Justeru, Rizam merayu seluruh pengundi DUN Kuala Linggi supaya keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada 14 November dan mengundi calon BN, Datuk Rosli Abdullah.

“Saya merayu kepada seluruh pengundi DUN Kuala Linggi supaya jangan lupa untuk keluar mengundi pada 14 November ini dan memangkah BN.

“Marilah kita bersama-sama mengajak sanak saudara, rakan-rakan dan taulan untuk hadir menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari pengundian,” ujarnya.

Beliau berharap proses pengundian dapat berlangsung dengan lancar serta setiap pengundi dapat membuat pilihan masing-masing secara bertanggungjawab.

Terdahulu, beliau turut mengadakan program Ziarah Kasih di tujuh Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi menyantuni masyarakat setempat serta mendekati pengundi secara langsung.

Program berkenaan turut disertai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan; Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mohd Isa Abu Kassim; bekas Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Abdul Rahman Bakri; Ketua Puteri UMNO Negeri Selangor, Siti Nurul Diayana Mat Sehat serta jentera-jentera BN. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO