Jangan Tabur Kebencian, Buktikan Kemampuan – Rais Yasin

SUNGAI UDANG, 10 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin menegaskan bahawa kempen pilihan raya perlu berlandaskan politik matang dengan mengutamakan tawaran, idea dan perancangan kepada rakyat, bukannya menggunakan pendekatan politik kotor, menghasut atau mencetuskan kebencian.

Ujarnya, pilihan raya bukan medan untuk mempengaruhi rakyat dengan permainan sentimen, tetapi calon perlu menjelaskan komitmen serta tanggungjawab yang bakal dilaksanakan sekiranya diberikan mandat.

“Kita tidak mahu hari ini satu politik kotor yang mempengaruhi rakyat, menghasut dan sebagainya. Jadi apa yang saya boleh galakkan kepada sahabat-sahabat saya dan juga diri saya, keluarkan tawaran anda.

“Tidak kisah anda daripada parti mana, anda tawarkan apa yang anda nak tawarkan kepada rakyat. Yang pasti, anda mesti tunaikan.

“Saya galakkan kita keluarkan tawaran kepada rakyat, apa yang kita nak buat, kita pancing undi dengan cara memburukkan orang lain, itu sangatlah tidak baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas meninjau proses pengundian awal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kem Terendak hari ini.

Rais yang juga Timbalan Pengerusi BN Melaka berkata, tawaran manifesto dirangka dengan memberikan perhatian khusus kepada kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga mereka.

“BN Melaka sudah mengemukakan lapan tawaran manifesto kepada pengundi Sungai Udang yang diumumkan termasuk juga komitmen khusus bagi meningkatkan kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia, pasangan serta veteran tentera.

“Antara tawaran utama ialah memperuntukkan 30 peratus daripada keseluruhan peruntukan tahunan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) sekiranya diberikan mandat khusus untuk pelaksanaan program dan kebajikan warga tentera serta keluarga mereka,” katanya lagi.

Tawaran berkenaan turut meletakkan aspek kebajikan warga pertahanan negara sebagai antara perkara yang diberikan perhatian dalam agenda pembangunan dan khidmat masyarakat di kawasan berkenaan.

Dalam masa sama beliau melahirkan kesyukuran kerana setiap tawaran yang digariskan sebelum ini telah membuahkan hasil.

“Berkat usaha bersama, saya bersyukur lapan-lapan tawaran itu kita berjaya selesaikan dengan lebih 90 peratus,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO