Perkasakan Momentum BN-PN, Pastikan Kemenangan Dicapai – Ahmad Maslan
TABOH NANING, 10 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan menggesa seluruh jentera Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) supaya memperkukuh kerjasama serta menyelaraskan gerak kerja bersama di semua peringkat bagi memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurut beliau, momentum kerjasama BN-PN ketika ini perlu diterjemahkan melalui tindakan dan kebersamaan yang jelas, bukan sekadar kerjasama di peringkat kepimpinan, malah mesti turut diperkukuh sehingga ke peringkat akar umbi.
Jelasnya, satu ceramah mega yang menghimpunkan pemimpin utama BN dan PN akan diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada Khamis malam ini sebagai usaha memperhebatkan kempen serta menyuntik semangat kepada seluruh jentera gabungan berkenaan.
“Momentum BN-PN setakat ini amat penting untuk terus diperkukuhkan. Kita akan mengadakan satu ceramah mega secara besar-besaran di MITC pada Khamis malam Jumaat ini dengan penyertaan pemimpin-pemimpin utama BN dan PN.
“Kita berharap orang ramai dapat hadir beramai-ramai bagi memeriahkan ceramah mega tersebut,” katanya di Pentas Gelombang Biru di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Rantau Panjang, di sini malam tadi.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar; calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Ketua Penerangan PN Ahmad Fadhil Shaari serta pengundi dan jentera BN-PN.
Dalam pada itu, Ahmad turut menekankan kepentingan jentera kedua-dua parti untuk lebih kerap mengadakan program bersama, khususnya membabitkan kepimpinan UMNO bahagian dan Pas kawasan.
Beliau berkata, kerjasama itu perlu diperlihatkan secara terbuka dan konsisten supaya rakyat dapat melihat sendiri kesepaduan serta kesungguhan BN-PN dalam menghadapi PRN Melaka.
“Saya menggesa supaya jentera lebih banyak mengadakan majlis bersama PN, khususnya membabitkan Ketua UMNO Bahagian dengan Yang Dipertua (YDP) Pas Kawasan, begitu juga Ketua Cawangan UMNO.
“Kita perlu bergerak bersama-sama. Apabila rakyat melihat kedua-dua jentera benar-benar bersatu dan bekerja sebagai satu pasukan, barulah sasaran kemenangan kerusi mampu direalisasikan,” katanya lagi.
Beliau menegaskan, kesepaduan jentera di setiap peringkat merupakan antara faktor penting bagi memastikan momentum BN-PN tidak sekadar menjadi slogan, sebaliknya diterjemahkan kepada kekuatan sebenar di lapangan. – UMNO Online
