Pentas Sepentas BN-PN Manifestasi Kerjasama Hingga Akar Umbi – Noor Azleen

KOTA MELAKA, 10 Nov – Kesediaan pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berkongsi pentas pada Pentas Gelombang Biru memperlihatkan perkembangan kerjasama yang bukan hanya berlaku di peringkat kepimpinan tertinggi, malah mula melibatkan akar umbi.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, momentum kerjasama dan penyatuan ummah antara BN dan PN perlu dikekalkan serta dibuktikan menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini.

“Bila kita buktikan dalam bentuk kemenangan pada 14hb nanti, mudah-mudahan itu jadi formula untuk strategi politik kita bagi menuju PRU (Pilihan Raya Umum) ke-16.

“Malam ini apabila kita juga beri ruang kepada pemimpin daripada Perikatan Nasional untuk bercakap dan berucap serta berceramah atas pentas yang sama, itu merupakan satu manifestasi sebaiknya.

“Ini juga menjelaskan bahawa kerjasama itu bukan hanya berlaku di peringkat pemimpin atasan, tapi dah mula merebak dan mula berlaku di pelbagai peringkat kepimpinan akar umbi,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau berkata demikian ketika sepentas bersama kepimpinan PN pada Pentas Gelombang Biru PN dan BN di Bilik Gerakan BN Telok Mas, di sini.

Antara pimpinan BN yang turut terlibat ialah Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Ustaz Fathul Bari Mat Jahya; Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin serta calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Manakala pimpinan PN terdiri daripada Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar dan Yang di-Pertua Pas Kota Melaka, Ustaz Sudin Noh.

Dalam pada itu, Noor Azleen mengingatkan agar jentera tidak terlalu selesa dan terus melipatgandakan usaha bagi memastikan seramai mungkin pengundi keluar memberikan sokongan pada Sabtu ini.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO