Ribuan Rakyat Hadiri Program Santai Orang Melaka
MELAKA, 8 Nov – Ribuan rakyat membanjiri Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini malam tadi bagi mengikuti program Santai Orang Melaka.
Ini termasuklah ceramah dari pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus atau lebih dikenali sebagai UAI.

Hadir sama, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Terdahulu, kedua-dua pemimpin berkenaan turut menyertai konvoi dari Merlimau bersama kira-kira 1,200 penunggang motosikal bagi memeriahkan program ilmu tersebut.
Program anjuran Amal Prihatin Melaka dan Briged Negaraku itu turut diserikan dengan kehadiran personaliti radio, Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz atau Johan.
Sebelum ceramah bermula kira-kira jam 8.50 malam, para pengunjung terlebih dahulu menunaikan solat Isyak secara berjemaah.
Program berkenaan menghimpunkan masyarakat setempat dalam suasana santai bagi mengikuti pengisian ilmu bersama pendakwah terkenal itu. – UMNO Online
