Ab Rauf Ucap Selamat Deepavali, Pelihara Perpaduan

MELAKA, 8 Nov – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh merakamkan ucapan Selamat Hari Deepavali kepada seluruh masyarakat beragama Hindu yang meraikannya, khususnya di negeri Melaka.

Mewakili seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka, beliau berharap sambutan Pesta Cahaya tahun ini membawa sinar kebahagiaan, kedamaian dan kemakmuran kepada setiap keluarga.

Menurut beliau, sambutan Deepavali bukan sekadar perayaan keagamaan, malah menjadi platform untuk memperkukuh hubungan silaturahim serta menyemarakkan semangat kekeluargaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

“Jadikanlah kesempatan ini ruang untuk saling menziarahi, mengeratkan silaturahim serta menyemarakkan semangat kekeluargaan,” katanya menerusi ucapan sempena sambutan Hari Deepavali.

Beliau turut menegaskan bahawa kepelbagaian kaum, agama dan budaya merupakan kekuatan utama yang menyatukan rakyat Melaka, sekali gus perlu terus dipelihara melalui sikap saling menghormati dan menyayangi.

“Kerana cahaya yang paling bermakna bukan sekadar menerangi kediaman, tetapi cahaya kasih sayang yang menyatukan hati seluruh rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang untuk terus mempertahankan semangat perpaduan, keharmonian dan persefahaman demi memastikan Melaka kekal sebagai negeri yang aman, makmur dan sejahtera.

Beliau turut berharap semangat perpaduan yang menjadi tunjang kekuatan masyarakat di negeri ini akan terus subur dan diwarisi oleh generasi akan datang. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO