Isu Najib: Kekeliruan Terancang Untuk Meneruskan Ketidakadilan
KUALA LUMPUR, 7 Nov – Kenyataan media Jabatan Peguam Negara (AGC) bertarikh 6 November 2026 didakwa menjadi titik permulaan kepada usaha untuk terus memenjarakan Datuk Seri Najib Razak (DSNR), meskipun terdapat perintah pengampunan yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Hasnal Rezua Merican, berkata tindakan AGC membangkitkan isu kekeliruan berhubung tafsiran perintah pengampunan itu selepas pembayaran denda RM50 juta dibuat menimbulkan persoalan mengenai pelaksanaan perintah berkenaan.
Menurut beliau, perintah pengampunan bertarikh 18 September 2026 difahami sebagai memberikan kelayakan kepada DSNR untuk menjalani baki tempoh pemenjaraan secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

“Perkataan ‘tertakluk’ difahami semua pihak bahawa pembayaran denda tersebut adalah prasyarat kepada pelaksanaan perintah tahanan di rumah yang telah diizinkan oleh Lembaga Pengampunan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Jabatan Penjara Malaysia, DSNR bersama peguamnya serta seluruh warga UMNO yang menggerakkan kutipan Tabung Solidariti Najib Razak sebelum ini tidak menunjukkan sebarang kekeliruan berhubung pelaksanaan syarat tersebut.
Katanya, Jabatan Penjara terus menahan DSNR selagi denda berkenaan belum dijelaskan, manakala DSNR dan peguamnya tidak mengemukakan permohonan ke mahkamah atau mendapatkan penjelasan daripada Lembaga Pengampunan berhubung tafsiran perintah itu.
“Seluruh warga UMNO yang menggerakkan kutipan Tabung Solidariti Najib Razak juga tidak terkeliru. Mereka menjalankan inisiatif tersebut dengan giat tanpa mengharapkan DSNR dibebaskan lebih awal sebelum denda RM50 juta terkumpul,” katanya.
Bagaimanapun, Hasnal berkata, AGC hanya mengeluarkan kenyataan mengenai kemungkinan wujudnya lebih daripada satu tafsiran terhadap perintah berkenaan selepas denda RM50 juta dibayar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 November lalu.
Beliau turut mempersoalkan tindakan AGC mengaitkan kekeliruan tersebut dengan Order of Discharge on Payment of Fine bertarikh 6 November 2026 yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Menurutnya, kemungkinan wujudnya tafsiran alternatif terhadap istilah berkenaan tidak munasabah kerana pembayaran denda tidak bermaksud seseorang banduan secara automatik terlepas daripada baki hukuman penjara yang belum dijalani.
“Tiada asas untuk Jabatan Peguam Negara menjadi terkeliru tentang hal ini kerana pembayaran denda tidak pernah secara undang-undang beroperasi melunaskan hukuman penjara yang belum dijalani,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu turut disokong oleh fakta bahawa meskipun perintah mahkamah berkenaan mengarahkan DSNR dilepaskan serta-merta selepas pembayaran denda, beliau masih perlu menjalani tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 berdasarkan perintah pengampunan yang diperkatakan.
Dalam pada itu, Hasnal menegaskan AGC tidak mempunyai kuasa atau bidang kuasa untuk menangguhkan pelaksanaan perintah pengampunan yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong secara unilateral.
“Jika Jabatan Peguam Negara ingin meleraikan kekusutan minda mengenai interpretasi perintah pengampunan, ia tidak adil dilakukan sementara DSNR kekal di dalam penjara,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan tahanan di rumah terhadap DSNR perlu dimulakan serta-merta tanpa sebarang penangguhan.
“Tahanan rumah DSNR mesti bermula serta-merta,” katanya lagi. – UMNO Online
