Perintah Pengampunan YDPA Muktamad, Tidak Boleh Dicabar – Mohd Zaidi
KUALA LUMPUR, 7 Nov – Perintah Pengampunan yang diperkenan oleh Yang di Pertuan Agong (YDPA) adalah Muktamad dan tidak boleh disemak atau dicabar oleh mana-mana pihak.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain, berkata, beliau yakin bahawa Perintah Pengampunan yang diperkenan YDPA ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah difahami secara jelas oleh semua pihak.

“Perintah Pengampunan yang diperkenankan oleh YDPA pada 18 September 2026 telah difahami secara jelas oleh semua pihak di mana Datuk Seri Najib Razak dibenarkan menjalani baki hukuman di rumah sehingga 23 Ogos 2028, dengan syarat denda RM50 juta dibayar.
“Sepanjang tempoh sebelum denda dilunaskan, tiada satu pun pihak termasuk Jabatan Peguam Negara pernah membangkitkan bahawa frasa perintah tersebut boleh membawa dua maksud yang berbeza. Semua pihak memahami bahawa pembayaran denda adalah syarat kelayakan, bukan bermaksud baki hukuman penjara terhapus.
“Namun sejurus selepas denda tersebut dibayar, tiba-tiba timbul dakwaan bahawa terdapat kekeliruan tafsiran. Pada pandangan saya, ini adalah sesuatu yang sukar untuk tidak dipersoalkan niat sebenar di sebaliknya,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bangi berkata, saluran yang tepat untuk sebarang keraguan adalah merujuk kembali kepada pihak yang memperkenankan perintah tersebut, iaitu YDPA.

“Persoalannya, bolehkah Perintah Pengampunan YDPA disemak atau ditafsirkan semula? Perkara ini penting untuk diperjelaskan. Perintah Pengampunan yang diperkenankan oleh YDPA di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan adalah keputusan yang muktamad dan tidak boleh disemak atau dicabar oleh mana-mana pihak, termasuk mahkamah.
“Seperti yang telah diputuskan dalam beberapa kes perundangan, kuasa pengampunan adalah pelaksanaan budi bicara mutlak YDPA dan bukan kuasa yang boleh ditinjau semula oleh mahkamah melalui prosedur semakan kehakiman.
“Jika demikian, bagaimana boleh timbul dakwaan ‘kekeliruan tafsiran’ selepas perintah itu dikeluarkan? Sebarang penjelasan atau tafsiran terhadap perintah tersebut bukanlah kuasa yang boleh diambil alih secara sepihak oleh mana-mana jabatan kerajaan.
“Saluran yang tepat sekiranya ada keraguan adalah merujuk kembali kepada pihak yang memperkenankan perintah tersebut, iaitu YDPA dan bukan menahan seseorang terus di penjara sementara menunggu isu diselesaikan,” katanya lagi.
Tambahnya, tiada peruntukan undang-undamh yang membolehkan Jabatan Peguam Negara untuk menunda, mengubah, atau memberi tafsiran baharu terhadap perintah tersebut.
“Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan — Kuasa memberi ampun, menunda atau melegakan hukuman adalah kuasa mutlak YDPA. Tiada peruntukan undang-undang yang memberikan kuasa kepada Jabatan Peguam Negara untuk menunda, mengubah, atau memberi tafsiran baharu terhadap perintah tersebut secara sepihak.
“Pembayaran denda tidak pernah melupuskan hukuman penjara yang belum dijalani. Mahkamah yang menjatuhkan hukuman memerintahkan kedua-duanya: penjara dan denda. Perkataan ‘dilepaskan apabila denda dibayar’ bermaksud pelepasan daripada kewajipan membayar denda, bukan pelepasan daripada baki hukuman penjara. Jika maksudnya menghapuskan baki hukuman penjara, tidak ada sebab mengapa perintah pengampunan menetapkan tempoh tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
“Mahkamah secara konsisten berpendapat bahawa keputusan YDPA berhubung pengampunan tidak boleh dicabar atau disemak. Oleh itu, sebarang keraguan tafsiran wajar dirujuk kembali kepada Lembaga Pengampunan, bukan dijadikan alasan untuk terus menahan beliau di penjara,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa penangguhan pelaksanaan titah tersebut tidak mempunyai asas undang-undang yang sah.
“Mengikut Kaedah Fiqh, apabila halangan kepada sesuatu perkara telah hilang, maka perkara tersebut mesti dilaksanakan. Dalam kes ini, syarat pembayaran denda telah dipenuhi, maka halangan kepada pelaksanaan tahanan rumah telah tiada dan tidak sepatutnya diwujudkan halangan yang tiada di dalam Titah YDPA.
“Pada pendapat saya, penangguhan ini tidak mempunyai asas undang-undang yang sah. Perintah Yang di-Pertuan Agong adalah muktamad. Jika benar ada persoalan tafsiran, ia wajar diselesaikan lebih awal dan melalui saluran yang betul dengan menghormati perintah tersebut, bukan dengan terus menahan Datuk Seri di penjara.
“Oleh itu, Tahanan rumah mesti dilaksanakan segera sebagaimana titah YDPA,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
