Kebebasan Bersuara Jangat Disekat, Undang-Undang Usah Pilih Kasih – Naqib

TENGGARA, 7 Nov – Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Tenggara, Dr. Naqib Ghazali memandang serius kebimbangan berhubung kebebasan bersuara yang semakin terbatas serta wujudnya persepsi penguatkuasaan undang-undang secara terpilih berdasarkan kepentingan politik.

Beliau berkata, kritikan terhadap kerajaan, perbezaan pandangan dan teguran membina merupakan sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat dan tidak seharusnya disekat hanya kerana tidak selari dengan pendirian pihak berkuasa.

“Saya mengambil maklum kenyataan Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional berhubung kebebasan media dan penguatkuasaan undang-undang dalam ekosistem digital negara.

“Saya memandang serius kebimbangan bahawa kebebasan bersuara semakin terbatas dan wujudnya persepsi penguatkuasaan terpilih (selective enforcement) berdasarkan kepentingan politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, undang-undang mesti dikuatkuasakan secara adil dan konsisten tanpa mengira fahaman politik, kedudukan atau pihak yang menyuarakan pandangan.

Beliau turut menyokong usaha membanteras penipuan dalam talian, fitnah dan jenayah siber, namun keselamatan digital tidak boleh dijadikan alasan untuk menyekat kebebasan bersuara yang sah.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar setiap tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara telus, profesional dan bebas daripada sebarang pengaruh politik.

“Demokrasi yang matang bukan bermaksud semua pihak mesti bersetuju dengan kerajaan, tetapi setiap pihak berhak menyuarakan pandangan tanpa takut dikenakan tindakan yang tidak adil,” katanya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO