PRN Melaka: Terjemah Sokongan Ke Dalam Peti Undi – Dr Shamsul Anuar
SUNGAI UDANG, 6 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menyeru semua jentera agar terus mempertingkatkan kempen mendekati pengundi dengan menterjemahkan sokongan mereka ke dalam peti undi pada 14 Nov nanti.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong menegaskan kemenangan hanya tercipta menerusi kiraan kertas undi bukan sokongan sekadar di mulut.
“Jika mereka (pengundi) suka dengan pentadbiran BN di negeri ini dan kecewa terhadap pihak lawan maka cara yang paling berkesan untuk mereka terjemahkan adalah melalui peti undi.
“Ini tugas penting jentera untuk ajak pengundi seberapa ramai yang mungkin meluahkannya dengan memangkah calon parti kita di kertas undi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ceramah di PDM Bukit Terendak Sungai Udang di sini, malam Khamis sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pada majlis itu beliau turut mengingatkan jentera bahawa tempoh seminggu lagi yang ada perlu dimanfaat dengan melipat gandakan usaha menyantuni serta merayu pengundi.
“Jangan leka perkara lain. Apa guna bilik gerakan cantik, poster cantik tapi gagal terjemahkan sokongan di peti undi,” ujarnya.
Mengenai Gelombang Biru, beliau yakin sokongan tersebut yang bermula di Johor kemudian di Negeri Sembilan akan terus bersemarak di Melaka.
Namun tegasnya semua jentera tidak boleh lalai atau ambil mudah sebaliknya terus bekerja keras sehingga waktu pengundian tamat.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri percaya calon yang BN tampilkan di DUN Sungai Udang iaitu Datuk Rais Yassin bukan sahaja mempunyai pengalaman yang luas namun sentiasa komited dan bertanggungjawab dalam setiap tugasan yang diberikan.
“Calon kita (Rais) pernah menjadi Pegawai Khas saya ketika saya menjawat jawatan Menteri Sumber Asli dahulu.
“Beliau (Rais) bukan sahaja rajin tapi sentiasa amanah dan komited pada setiap tugasan yang diberikan”, katanya.

Pada masa yang sama beliau turut menyelar serangan pihak lawan kononnya kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional sebagai pakatan rasis.
“Itu hanya taktik mereka yang terdesak dan cuba takutkan pengundi. Hakikatnya dalam BN ada parti MCA, MIC, PPP manakala Perikatan Nasional ada Gerakan dan lain-lain,” ujar beliau lagi.
DUN Melaka dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa 23 Sept lepas selepas mendapat perkenan daripada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.
Pada PRN Melaka 2021, BN membentuk kerajaan selepas menang 21 daripada 28 kerusi dipertandingkan, manakala PH menang lima kerusi dan PN dengan dua kerusi. – UMNO Online
