BN-PN Lancar Manifesto Bersama Petang Ini

MELAKA, 6 Nov – Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan melancarkan manifesto bersama menerusi satu majlis yang dijadual berlangsung di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, petang ini.

Majlis Pelancaran Manifesto BN dan PN itu dijadual bermula pada jam 4.30 petang, ini sebagai sebahagian langkah menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di laman Facebooknya menzahirkan harapan agar segala urusan majlis berkenaan dipermudahkan serta membawa kebaikan kepada rakyat dan masa depan negeri Melaka.

“Moga Allah SWT mempermudahkan segala urusan majlis pada petang ini dan mengurniakan yang terbaik buat rakyat serta masa depan bumi Melaka yang kita cintai,” katanya.

Pelancaran manifesto bersama itu menjadi platform untuk BN dan PN memperkenalkan tawaran serta hala tuju kepada rakyat Melaka dalam menghadapi PRN kali ini.

Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai bagi menyaksikan majlis berkenaan yang turut membawa semangat kempen BN Sayang Rakyat dan Muafakat Melaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRN Melaka pada 14 Nov manakala pengundian awal pada 10 Nov.

Berdasarkan statistik SPR, sebanyak 687,697 pemilih layak mengundi pada PRN kali ini membabitkan 675,166 pengundi biasa, 9,769 anggota tentera dan pasangan serta 2,762 anggota polis. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO