Kerajaan Komited Pastikan Pertumbuhan Ekonomi Dirasai Secara Nyata
KUALA LUMPUR, 4 Nov – Kerajaan komited untuk memastikan pertumbuhan ekonomi dirasai secara nyata oleh rakyat, kata Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Ujarnya, kerajaan mengambil pendekatan menyeluruh untuk memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada peningkatan gaji benar, kuasa beli dan mobiliti pendapatan rakyat, khususnya kumpulan berpendapatan rendah serta sederhana.

“Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2025 berkembang 5.2 peratus, melebihi sasaran, manakala KDNK suku kedua 2026 berkembang 6.0 peratus. Kadar pengangguran kekal rendah pada 2.9 peratus (Ogos 2026) dan inflasi terkawal pada 1.8 peratus (September 2026). Di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), intervensi struktur dilaksanakan merentasi empat aspek.
“Pertama, gaji benar. Dasar Gaji Progresif (DGP) dengan peruntukan RM200 juta telah disertai 4,025 majikan melibatkan 51,363 pekerja dan gaji median pekerja peringkat permulaan meningkat daripada RM1,900 kepada RM2,200. Gaji minimum turut dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 bermula Jun 2027.
“Pada peringkat agregat, setelah mengambil kira inflasi, median gaji dan upah benar bulanan meningkat 3.9 peratus, daripada RM2,103 kepada RM2,184 pada harga malar 2010. Manakala di Sabah, median gaji dan upah benar bulanan meningkat daripada RM1,828 kepada RM2,006,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab Menteri di Parlimen, sebentar tadi.
Tambahnya, Belanjawan 2027 memperuntukkan RM16 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk mencambahkan lagi kuasa beli.
“Kedua, kuasa beli. Bagi jangka pendek, Belanjawan 2027 memperuntukkan RM16 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta subsidi bersasar seperti BUDI95. Harga barangan pula distabilkan melalui Program Penyeragaman Harga Barang di Sabah, Sarawak dan Labuan serta Payung RAHMAH.
“Bagi jangka panjang, kerajaan meningkatkan ketersediaan perumahan mampu milik, keterjaminan makanan dan pengangkutan awam, serta memperkukuh ekonomi desa dan infrastruktur asas, termasuk di Sabah.
“Ketiga, mobiliti pendapatan. RMK13 menekankan anjakan kepada lima bidang, dengan izin, High Growth High Value (HGHV), bagi mewujudkan pekerjaan berkualiti dan bergaji lebih baik. Bagi isi rumah berpendapatan rendah, Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) menyediakan bantuan secara, ‘in-kind’ serta latihan bagi menjana pendapatan tambahan dengan sasaran RM2,000 sebulan.
“Sehingga 31 Ogos 2026, seramai 6,781 isi rumah telah menyertai IPR. Sebanyak 65 peratus peserta Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN) telah mencapai pendapatan bulanan sekurang-kurangnya RM2,000, manakala peserta program Basmi Miskin Tegar (BMT) memperoleh pendapatan tambahan purata antara RM1,000 hingga RM3,000 sebulan. Di Kinabatangan, peserta IPR INTAN terlibat dalam aktiviti penanaman cili fertigasi dan menjana pendapatan bulanan purata sehingga RM8,000,” katanya lagi.
Ujarnya, penyasaran bantuan sosial dan subsidi akan dipertingkatkan untuk mengurangkan jurang antara kelompok pendapatan.
“Keempat, jurang antara kelompok pendapatan. Berdasarkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, pendapatan penengah isi rumah B40 dan M40 masing-masing tumbuh 5.2 peratus dan 5.6 peratus setahun bagi tempoh 2022 dan 2024, berbanding T20 yang meningkat sebanyak 2.0 peratus.
“Bahagian pendapatan T20 menurun daripada 46.3 peratus kepada 45.1 peratus, manakala pekali Gini berkurang daripada 0.404 kepada 0.390 dalam tempoh yang sama. Bagi mengekalkan momentum ini, penyasaran bantuan sosial dan subsidi akan dipertingkat, manakala petunjuk jurang kemakmuran atau, dengan izin, prosperity gap akan diperkenalkan bagi melengkapi ukuran ketidaksamaan sedia ada.
“Pencapaian sasaran ini, bersama Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) dan Indeks Kos Sara Hidup (IKSH), akan dipantau secara berkala, termasuk melalui Kajian Separuh Penggal RMK13.
“Kerajaan komited memastikan pertumbuhan ekonomi dirasai secara nyata oleh rakyat, termasuk di Kinabatangan, melalui gaji yang lebih baik, kos sara hidup yang terkawal dan peluang peningkatan pendapatan yang lebih besar,” katanya lagi. – UMNO Online
