Mohamad Hasan Ketuai Delegasi Ke CHOGM 2026, Perkukuh Kerjasama Dan Diplomasi Ekonomi
KUALA LUMPUR, 3 Nov – Menteri Luar merangkap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, selamat tiba di Antigua & Barbuda semalam bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan Komanwel Ke-28 (CHOGM) 2026 serta mesyuarat-mesyuarat berkaitan.
Sepanjang berada di sana, beliau akan menyertai beberapa mesyuarat peringkat tinggi selain mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawat.

Menurut Mohamad, perbincangan akan memberi tumpuan kepada beberapa agenda penting melibatkan kerjasama antara negara anggota Komanwel.
“Perbincangan akan tertumpu kepada pengukuhan Kerjasama Selatan-Selatan dan usaha merapatkan jurang pembangunan global, serta menggalakkan perdagangan dan pelaburan dalam kalangan negara-negara Komanwel,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut berkesempatan bertemu beberapa pemimpin negara di bilik tetamu lapangan terbang, termasuk Perdana Menteri Mauritius, TYT Navin Ramgoolam.
Penyertaan Malaysia dalam CHOGM 2026 ini turut melibatkan usaha memperkukuh kerjasama dan hubungan antara negara-negara Komanwel. – UMNO Online
