DUN Lendu Mampu Jadi Penanda Aras Kemenangan Calon Muda – Nurul Amal
LENDU, 3 Nov – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia akan terus memperhebat gerak kerja kempen di seluruh kawasan Parlimen di Melaka sehingga hari terakhir bagi memastikan momentum sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) terus meningkat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu mempunyai potensi besar untuk terus menjadi kawasan yang mencatatkan perkembangan positif, sekali gus menjadi medan penting dalam membuktikan kemampuan calon muda BN.
“Puteri UMNO berharap calon BN bagi DUN Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid mampu mencapai kemenangan pada 14 haribulan ini, sekali gus menjadi penanda aras kejayaan calon muda dalam pilihan raya.
“Puteri UMNO akan turun di setiap kawasan Parlimen sehingga ke penghujung kempen. Kita akan meneruskan segala gerak kerja yang telah diberikan dan memastikan fokus tidak terganggu sehingga hari terakhir.
“Sambutan anak muda terhadap gelombang biru antara kekuatan penting BN dalam membina momentum kemenangan. Sokongan itu perlu terus diperkukuh bagi memastikan kejayaan yang sama dapat direalisasikan di Melaka,” katanya kepada UMNO Online.
Seterusnya Nurul Amal berpandangan pengundi Melaka kini semakin matang dalam menilai parti dan calon yang mampu membawa kestabilan serta mentadbir negeri dengan baik.
“Kemunculan ramai calon baharu daripada pelbagai parti menjadikan persaingan PRN kali ini lebih menarik, namun setiap parti perlu membuktikan keupayaan masing-masing melalui tawaran dan pendekatan kempen yang meyakinkan,” katanya lagi.
Dalam masa sama beliau turut mengingatkan semua calon, supaya tidak terjebak dengan budaya kempen yang mencetuskan provokasi, cercaan dan serangan peribadi sehingga menjejaskan imej parti.
“Saya nasihatkan semua calon BN, khususnya di Melaka, supaya berkempenlah secara berhemah. Gerak-geri dan kata-kata kita menjadi cerminan kepada parti.
“Kita mahu rakyat terus meyakini BN. Jadi, jangan rosakkan kepercayaan itu dengan tindakan atau percakapan yang tidak sepatutnya,” tegasnya. – UMNO Online
