PRN Melaka: Tolak Provokasi, Jangan Masuk Perangkap Lawan

MELAKA, 2 Nov – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan seluruh jentera Barisan Nasional (BN) supaya tidak terperangkap dengan provokasi pihak lawan sehingga menjejaskan fokus dan kelancaran gerak kerja sepanjang tempoh berkempen.

Beliau berkata, jentera parti perlu terus berpegang kepada perancangan dan strategi yang telah ditetapkan, selain memberikan tumpuan kepada usaha menyantuni pengundi serta memastikan mereka keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian.

“Jangan masuk perangkap. Kita ada tata kelola, kita ada templat kita. Jadi jangan terganggu konsentrasi disebabkan provokasi-provokasi yang memang mahu menyebabkan kita hilang fokus.

“Dalam keadaan tempoh berkempen ini, jentera jangan hilang fokus. Tumpuan kita adalah menyantuni seramai mungkin pengundi, meyakinkan mereka dan membawa mereka keluar,” katanya dalam wawancara bersama UMNO Online, semalam.

Menurut beliau, berdasarkan pemerhatian, sebahagian besar pengundi di Melaka dipercayai telah mempunyai kecenderungan masing-masing, justeru pendekatan kempen perlu dilaksanakan secara berhemah tanpa keterlaluan.

Mohamad yang juga Menteri Luar merangkap Ahli Parlimen Rembau berkata, gelombang biru yang dibawa bukan sekadar berkisar kepada BN, sebaliknya membawa mesej penyatuan masyarakat Melayu yang perlu mengelakkan perpecahan sesama sendiri.

“Rakyat memang mahu melihat supaya orang Melayu bersatu. Jangan kita rugi kerana perpecahan sesama sendiri. Kita belajar daripada pengalaman kekalahan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 dan PRU15.

“Kita tak kalah disebabkan oleh kekuatan pihak lawan tapi kita kalah kerana pertembungan parti-parti teras Melayu, jadi bak kata pepatah orang tua-tua ‘antan dengan antan berlaga ayam tepi lesung yang kenyang’, jadi kita jangan bagi padi kita tumpah pada lesung … kita susun elok-elok, kita eratkan silaturrahim.

“Kita bukan menyeru kepada perpecahan tapi menyeru supaya cukup-cukuplah orang Melayu ini berpecah, cukup-cukuplah masyarakat yang berpecah kerana perpecahan itu tidak mendatangkan apa-apa kebaikan,” katanya.

Mengulas gerak kerja kempen di Melaka, beliau turut mengingatkan jentera dan wakil negeri-negeri yang hadir membantu supaya tidak membawa permasalahan politik negeri masing-masing ke Melaka.

Sebaliknya, mereka perlu memberikan sokongan kepada jentera tempatan serta membantu memeriahkan program dan aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan.

“Dia orang dah tahu apa nak buat cumanya kita jangan pula berlaku sombong ataupun dalam masa gerak kerja kempen kita hari ini, kita terpijak kaki orang … terlepas cakap terkasar bahasa.”

Mohamad turut mengingatkan golongan muda supaya menggunakan platform media sosial secara berhemah dan tidak terjebak dalam budaya politik yang sarat dengan penghinaan, maki hamun serta bahasa kesat.

“Kita cuba kembali semula kepada politik yang waras, politik yang mengamalkan budaya yang baik. Kita tunjukkan kebaikan kita untuk menarik perhatian orang.

“Jangan kita maki hamun orang. Perbuatan dan percakapan kasar akan membuatkan orang hilang selera untuk bersama dengan kita,” katanya.

Beliau berharap seluruh jentera dapat mengekalkan disiplin, kesantunan dan semangat kerjasama sepanjang tempoh kempen agar persaingan politik berlangsung dalam suasana matang, sihat dan menghormati masyarakat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO