“Lawan Fitnah Dengan Fakta, Jawab Tohmahan Dengan Bukti” – Ab Rauf
TANJUNG BIDARA, 2 Nov – “Lawan fitnah dengan fakta, jawab tohmahan dengan bukti.” Itulah mesej tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh kepada pasukan media dalam memastikan kebenaran terus dipertahankan ketika berdepan pelbagai naratif dan serangan di media sosial.
Beliau menegaskan, jentera media tidak boleh sekadar menjadi penyampai maklumat, sebaliknya perlu bertindak sebagai barisan hadapan dalam memastikan rakyat menerima fakta yang tepat serta tidak terpengaruh dengan tohmahan dan cerita yang direka-reka.

Menurut beliauyang bertanding bagi mempertahankan kerusi BN DUN Tanjung Bidara, dalam tempoh kurang dua minggu menjelang hari pengundian, pasukan media perlu bergerak lebih pantas, proaktif dan kreatif bagi memastikan setiap maklumat, fakta serta pencapaian disampaikan secara berkesan kepada rakyat.
“Pastikan setiap maklumat, fakta dan pencapaian disampaikan dengan tepat supaya rakyat mendapat gambaran sebenar, bukan terpengaruh dengan cerita yang direka-reka,” katanya ketika menyampaikan amanat kepada pasukan Media JR Digital Tanjung Bidara, semalam.
Beliau turut mengingatkan bahawa perjuangan politik perlu berlandaskan fakta dan kematangan, bukannya fitnah serta kebencian.
“Kita mahu politik berfakta, bukan politik fitnah. Kita mahu persaingan secara matang, bukan politik kebencian. Kita mahu mengangkat pencapaian, bukan memburukkan pihak lawan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menyeru seluruh pasukan media agar tidak gentar berdepan cabaran, sebaliknya memanfaatkan kekuatan platform digital untuk menyampaikan kebenaran, mempertahankan perjuangan dan membawa suara rakyat.
“Jangan gentar berdepan cabaran. Gunakan kekuatan media digital untuk menyampaikan kebenaran, mempertahankan perjuangan dan membawa suara rakyat,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRN Melaka pada 14 Nov manakala pengundian awal pada 10 Nov. – UMNO Online
