PRN: Anak Tempatan Jadi Kelebihan Siti Aisyah Di Pengkalan Batu
KUALA LUMPUR, 29 Okt – Calon Barisan Nasional (BN) Siti Aisyah Mahmood menyifatkan pencalonan beliau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, memberi kelebihan kepada beliau sebagai calon tempatan.
Beliau yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya ini ini kerana DUN tersebut mempunyai nilai tersendiri buat dirinya kerana kawasan itu merupakan tempat beliau membesar dan membina kehidupan.
“Saya memang anak tempatan di DUN Pengkalan Batu dan telah menetap di kawasan ini sejak lahir… sememangnya kampung halaman kerana di sinilah membesar, mendapat pendidikan di peringkat sekolah rendah dan menengah, malah membina kerjaya.
“Jadi kawasan ini cukup dekat dengan diri saya kerana saya sendiri melalui perjalanan kehidupan di sini dan mengenali kawasan yang menjadi tempat saya dibesarkan,” katanya ketika ditemui UMNO Online.
Dalam pada itu pengalaman politik yang ditimba sejak lebih dua dekad lalu menjadi bekalan buat beliau untuk meneruskan khidmat kepada masyarakat setempat.
Malah, katanya, pencalonan beliau sebagai pemimpin Wanita UMNO menunjukkan kepercayaan yang diberikan oleh kepimpinan parti terhadap kemampuan wanita untuk memainkan peranan penting dalam membawa suara masyarakat.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden dan kepimpinan parti yang telah memberikan peluang kepada golongan wanita.
“Insya-Allah saya yakin usaha dan harapan yang disuarakan oleh Wanita UMNO semasa Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, khususnya yang menekankan kuota wanita, menunjukkan bahawa wanita juga boleh bergerak maju seiring dengan calon-calon lain dan setaraf dalam membantu BN,” ujar beliau.
Terdahulu, Siti Aisyah diumumkan sebagai calon BN bagi DUN Pengkalan Batu sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Kerusi DUN itu sebelum ini disandang Datuk Kalsom Noordin yang memenangi kerusi berkenaan pada PRN Melaka 2022 dengan memperoleh 4,839 undi.
Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka, hari pengundian awal pada 10 November dan penamaan calon pada 31 Oktober. – UMNO Online
