Ahli Parlimen Sabah Tuntut Tunggakan Projek JALB Dilunaskan

KUALA LUMPUR, 29 Okt – Pembangunan infrastruktur luar bandar di Sabah dan Sarawak perlu terus diberi perhatian bagi memastikan masyarakat setempat menikmati kemudahan asas yang mencukupi, selain menjamin kelangsungan projek pembangunan yang telah dirancang.

Namun, isu tunggakan bayaran kepada kontraktor serta keputusan membatalkan dan menangguhkan pelaksanaan sebahagian projek Jalan Luar Bandar (JALB) kini menimbulkan kebimbangan terhadap kelancaran pembangunan infrastruktur di kedua-dua negeri berkenaan.

Ahli-ahli Parlimen Sabah menggesa kerajaan menyalurkan baki peruntukan RM59.5 juta bagi menyelesaikan tunggakan bayaran projek JALB yang masih belum dilunaskan, sekali gus membantu kontraktor tempatan memulihkan modal pusingan dan meneruskan pelaksanaan projek.

Hal tersebut ditegaskan dalam siding media, hari ini yang disertai Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir; Ahli Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar; Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Hajah Siti Aminah Aching; serta Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda.

Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick berkata, tunggakan bayaran bagi projek berkenaan masih berada pada tahap membimbangkan meskipun Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan suntikan tambahan RM200 juta.

Beliau berkata, sebanyak 112 projek JALB di seluruh negara merekodkan tunggakan bayaran interim kepada kontraktor dan pampasan tanah berjumlah RM259.503 juta setakat 30 September lalu.

“Meskipun Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan suntikan tambahan RM200 juta, angka ini jelas masih gagal menutup lompang tunggakan sedia ada yang amat kritikal,” katanya pada sidang media Ahli-ahli Parlimen Sabah di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Ewon, Sabah mencatatkan tunggakan tertinggi sebanyak RM118.84 juta melibatkan 35 projek, diikuti Sarawak dengan RM73.52 juta bagi 34 projek.
Sementara itu, negeri-negeri di Semenanjung Malaysia merekodkan tunggakan berjumlah RM67.14 juta melibatkan 43 projek.

Selain menuntut penyelesaian tunggakan bayaran, beliau turut menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan membatalkan dan menangguhkan pelaksanaan projek JALB di Sabah dan Sarawak.

Daripada 72 projek yang terjejas di kedua-dua negeri itu, sebanyak 26 projek dibatalkan proses tendernya, masing-masing 13 projek di Sabah dan Sarawak, manakala 46 lagi mengalami penangguhan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST).

Ewon berkata, Sarawak merekodkan 39 projek yang terjejas akibat penangguhan SST berbanding tujuh projek di Sabah, susulan arahan bertarikh 10 September 2026.

Sehubungan itu, beliau berkata Ahli Parlimen Sabah menyokong surat rayuan rasmi Kerajaan Sarawak bertarikh 9 Oktober lalu dan menggesa kerajaan membuka semula ruang rundingan bagi projek yang dibatalkan atau ditangguhkan.

Menurutnya, perkara itu perlu diberi perhatian serius kerana kelewatan dan pembatalan projek berkenaan berpotensi menjejaskan usaha meningkatkan kemudahan infrastruktur asas yang amat diperlukan masyarakat luar bandar.

Pada 26 Oktober lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat mendedahkan terdapat projek pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak yang diarahkan supaya dibatalkan walaupun peruntukannya telah diluluskan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO