Ahmad Zahid Seru Rakyat Berwaspada Hadapi Monsun Timur Laut

KUALA LUMPUR, 27 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru rakyat supaya sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga berikutan permulaan Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 yang dijangka berterusan sehingga Mac 2027.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, menurut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), antara tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku dalam tempoh November 2026 hingga Januari 2027, sekali gus meningkatkan risiko banjir, khususnya di kawasan berhampiran sungai dan tanah rendah.

“Saya menyeru semua rakyat, khususnya mereka yang berada di kawasan berisiko, supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti ramalan serta amaran cuaca semasa,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, keadaan angin kencang sepanjang musim monsun turut berpotensi menyebabkan laut bergelora dan peningkatan paras laut di perairan Laut China Selatan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar mengelakkan kawasan yang mudah dinaiki air, tidak mengambil risiko meredah banjir serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya membuat persediaan awal dengan memastikan dokumen penting, ubat-ubatan, keperluan asas dan nombor telefon kecemasan tersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Keselamatan diri dan keluarga mesti menjadi keutamaan,” tegas beliau.

Ahmad Zahid berharap agar semua rakyat dapat menghadapi musim monsun berkenaan dengan penuh kesiapsiagaan serta mengambil langkah pencegahan sewajarnya bagi mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.

Beliau turut mendoakan agar rakyat Malaysia sentiasa dilindungi daripada sebarang musibah sepanjang tempoh Monsun Timur Laut 2026/2027. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO