Pahang Sasar Nilai Ekonomi RM100 Bilion Menjelang 2030
PEKAN, 26 Okt- Pahang menyasarkan nilai ekonomi negeri mencecah RM100 bilion menjelang 2030 menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Pahang 2030, selain mewujudkan 60,000 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohd Najib berkata, sasaran itu akan dicapai menerusi pembangunan enam sektor utama yang berpotensi besar untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Beliau berkata, nilai ekonomi Pahang ketika ini dianggarkan RM71 bilion, justeru pelaburan serta pelaksanaan projek berimpak tinggi diperlukan bagi mencapai sasaran berkenaan, sekali gus meningkatkan pendapatan rakyat dan memperluas peluang pekerjaan berkualiti.
“Dalam pelan ekonomi ini, kita nak wujudkan 60,000 peluang pekerjaan daripada enam sektor dan juga projek berimpak tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Kerjaya Pahang1st Siri 2 Pekan dan Perasmian Expo Konvensyen 2026 di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), di sini, semalam.
Enam sektor tumpuan itu ialah tenaga boleh baharu, bahan termaju, pertanian, pembangunan berorientasikan transit (TOD), kenderaan elektrik (EV) dan automotif serta pelancongan, selain memperkukuh industri berasaskan teknologi dan inovasi.
Menurutnya, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan industri hiliran bagi memastikan sumber mineral tempatan dapat diproses dan ditambah nilai di Pahang, sekali gus menarik pelaburan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Dalam masa sama, kerajaan negeri menyasarkan peningkatan purata gaji pekerja daripada RM2,300 kepada RM3,300, di samping memperluas pembangunan industri baharu termasuk syarikat pemula, industri halal dan sektor aeroangkasa.
Mengulas mengenai Karnival Kerjaya Pahang1st, beliau berkata, program itu merupakan inisiatif penting untuk menghubungkan majikan dengan pencari kerja, selain mengurangkan kos dan memudahkan proses mendapatkan pekerjaan.
“Kalau boleh kita nak ada pasaran pekerjaan di negeri Pahang yang efisien, maksudnya majikan mudah cari pekerja dan pekerja mudah cari majikan,” katanya.
Karnival berkenaan menyaksikan penyertaan 13 syarikat yang menawarkan sebanyak 250 peluang pekerjaan, sekali gus membuka ruang kepada golongan muda, khususnya anak tempatan, untuk meneroka peluang kerjaya yang bersesuaian dengan kelayakan dan kemahiran masing-masing.
Beliau berkata, penganjuran program seumpama itu perlu diteruskan bagi memastikan peluang pekerjaan dapat diakses dengan lebih mudah, selain membantu memenuhi keperluan tenaga kerja industri dan menggalakkan anak muda membina kerjaya di Pahang.
Katanya, kerajaan negeri mahu menyediakan lebih banyak pekerjaan berkualiti supaya anak muda tidak perlu berhijrah ke negeri lain atau ke luar negara semata-mata untuk mendapatkan peluang kerjaya dan pendapatan yang lebih baik. – PAHANGMEDIA
