Wanita BN Perkemas Kesiapsiagaan Jentera Pilihan Raya
KUALA LUMPUR, 23 Okt – Wanita UMNO Malaysia terus memperkukuh kesiapsiagaan jentera Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 menerusi penyelarasan persiapan dan pemantapan gerak kerja parti.
Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata perkara itu antara tumpuan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Umum Negeri Melaka Ke-16 yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka malam tadi.
“Mesyuarat tersebut menjadi ruang penting untuk membincangkan penyelarasan persiapan serta memperkukuh gerak kerja parti dalam menghadapi PRN Melaka kali ini.
“Insya-Allah, dengan semangat kebersamaan serta komitmen seluruh jentera BN, termasuk Wanita BN yang sentiasa bersedia menggalas amanah, kita akan terus memperkukuh kesiapsiagaan demi meraih kepercayaan rakyat dan membawa masa depan yang lebih baik untuk negeri Melaka,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Sementara itu kunjungan beliau ke Melaka turut dimanfaat dengan mengadakan lawatan kerja ke Rumah Melaka, sebuah fasiliti di bawah seliaan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).
Lawatan tersebut bagi meninjau kemudahan sedia ada serta potensi untuk dimanfaatkan dengan lebih menyeluruh dalam memperkasa industri perkayuan negara.
“Rumah Melaka bukan sekadar sebuah bangunan yang mengetengahkan keunikan seni bina tradisional Melayu Melaka berasaskan kayu, tetapi juga mempunyai nilai warisan dan potensi ekonomi yang wajar kita terokai dengan lebih strategik.
“Lebih daripada itu, Rumah Melaka berpotensi menjadi titik pertemuan antara warisan, pelancongan dan pembangunan industri. Melalui penganjuran program industri, promosi produk hiliran bernilai tambah serta aktiviti yang bersesuaian, kita boleh membuka lebih banyak peluang kepada pemain industri untuk memperkenalkan produk, memperluas jaringan perniagaan dan meneroka pasaran baharu.
“Saya berharap potensi Rumah Melaka dapat diteliti dan dirancang dengan sebaiknya oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bersama MTIB agar pemanfaatannya bukan sahaja memelihara keindahan seni bina warisan, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan industri perkayuan yang lebih dinamik, inovatif dan mampan,” ujar beliau. – UMNO Online
