“Kita Birukan Melaka!”… Ab Rauf Pacu Gelombang Biru Hadapi PRN Ke-16

MELAKA, 23 Okt – Barisan Nasional (BN) dan Pas bakal membentuk kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, sekali gus membuka lembaran baharu dalam strategi politik gabungan itu untuk merebut mandat rakyat pada pilihan raya akan datang.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, keputusan berhubung kerjasama berkenaan telah dicapai, manakala perincian mengenai calon dan pembahagian kerusi dijangka diumumkan dalam satu majlis bersama BN dan Pas.

Menurut beliau, perkara itu turut diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk BN yang dipengerusikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, malam tadi.

“Keputusan sudah dicapai. BN dan Pas bakal membentuk kerjasama menghadapi PRN Melaka ke-16,” katanya.

Beliau berkata, BN juga akan berkongsi pentas bersama Pas bagi pengumuman calon, sekali gus menjawab persoalan mengenai hala tuju kerjasama politik berkenaan menjelang PRN Melaka.

“Insya-Allah, esok malam segala persoalan akan terjawab. Siapa calon, kerusi mana yang ditandingi BN dan Pas serta rakan-rakan yang bersama dalam perjuangan ini,” katanya.

Ab Rauf yang turut diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRN Melaka ke-16 berkata, amanah tersebut menuntut komitmen tinggi daripada seluruh jentera parti bagi memastikan persiapan menghadapi pilihan raya berjalan lancar.

Beliau merakamkan penghargaan kepada pucuk pimpinan parti atas kepercayaan yang diberikan, sambil menegaskan bahawa kekuatan BN bergantung kepada kesatuan, disiplin dan kerja keras seluruh jentera di setiap peringkat.

“Amanah ini bukan kecil. Cabarannya besar. Tetapi saya yakin, dengan kesatuan hati, kekuatan jentera dan kerja keras seluruh keluarga besar BN, kita mampu melangkah dengan penuh keyakinan,” katanya.

Beliau juga menegaskan BN bukan sekadar turun bertanding, sebaliknya membawa misi untuk memenangi pilihan raya dan meneruskan khidmat kepada rakyat negeri itu.

“Kita bukan sekadar mahu bertanding. Kita turun ke gelanggang PRN Melaka ini untuk menang dan terus berkhidmat kepada rakyat!” tegasnya.

Menurutnya, jentera BN Melaka bersama barisan pimpinan dan kekuatan jentera dari seluruh negara kini berada dalam keadaan bersedia, dengan gerak kerja pilihan raya telah disusun dan persiapan mula digerakkan.

Keyakinan itu, katanya, berteraskan semangat kebersamaan, kesepaduan jentera serta komitmen untuk memastikan setiap gerak kerja di lapangan dilaksanakan secara tersusun dan berkesan.

“Jentera sudah digerakkan. Semangat sudah dinyalakan,” katanya lagi.

BN akan mengadakan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengenalan Calon bagi menghadapi PRN Melaka ke-16 esok dengan majlis dijadual berlangsung pada jam 7.30 malam di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO