Rafi Gesa Tindakan Tegas Bom Ikan, Hulur Bantuan Kepada Mangsa Kebakaran Labuan
LABUAN, 23 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan penangkapan ikan menggunakan bom yang didakwa semakin berleluasa di perairan Labuan, selain menzahirkan keprihatinan terhadap mangsa kebakaran di Taman Kian Yapp dan menyokong penganjuran acara sukan yang mampu merancakkan ekonomi tempatan.
Rafi, yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan, berkata kegiatan bom ikan perlu dibanteras segera kerana bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah mengancam kelestarian ekosistem marin, keselamatan masyarakat serta sumber pendapatan nelayan tempatan.
Beliau menggesa Jabatan Perikanan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Marin dan agensi berkaitan supaya menjalankan siasatan menyeluruh, mempertingkat rondaan serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang terbukti melakukan kesalahan.
“Saya memandang serius aduan yang tular mengenai kegiatan menangkap ikan menggunakan bom di perairan Labuan. Perbuatan ini tidak boleh dipandang ringan kerana kesannya bukan sahaja merosakkan habitat dan ekosistem marin, malah turut mengancam kelangsungan sumber perikanan yang menjadi punca rezeki nelayan kita.
“Saya menggesa semua agensi penguat kuasa supaya segera menyiasat dakwaan ini, memperketatkan pemantauan dan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang. Kita tidak boleh membiarkan kerakusan segelintir pihak memusnahkan khazanah laut yang sepatutnya diwarisi oleh generasi akan datang.
“Saya juga menghargai keberanian komuniti pemancing yang tampil menyuarakan kebimbangan mereka. Usaha membanteras kegiatan ini memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk masyarakat setempat, supaya sebarang maklumat dapat disalurkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Rafi turut menzahirkan rasa dukacita terhadap kejadian kebakaran yang menjejaskan 17 keluarga di Taman Kian Yapp, Wilayah Persekutuan Labuan, dengan menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas berupa makanan dan air mineral kepada semua keluarga terlibat.
Sumbangan itu diselaraskan oleh Sekretariat Komuniti DMR bersama Sekretariat Kebajikan UMNO Bahagian Labuan sebagai tanda solidariti dan keprihatinan terhadap nasib mangsa yang berdepan kehilangan tempat tinggal serta harta benda.
Menurut beliau, bantuan berkenaan diharapkan dapat meringankan beban mangsa sementara mereka berusaha mengharungi tempoh sukar selepas ditimpa musibah.
“Saya memahami bahawa kehilangan tempat tinggal dan harta benda bukan sesuatu yang mudah untuk dihadapi. Sumbangan yang diberikan mungkin tidak mampu menggantikan segala kehilangan, namun sekurang-kurangnya dapat membantu memenuhi sebahagian keperluan asas keluarga mangsa dalam keadaan yang mencabar ini.
“Ketika saudara-saudara kita ditimpa musibah, perkara paling penting ialah memastikan mereka tidak berasa keseorangan. Inilah masanya untuk kita mengetepikan perbezaan dan berganding bahu membantu mereka yang memerlukan.
“Saya merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan dan pasukan DMR serta Sekretariat Kebajikan UMNO Bahagian Labuan yang terus menunjukkan komitmen membantu masyarakat. Bagi saya, politik bukan sekadar soal kuasa dan kedudukan, tetapi merupakan amanah untuk berkhidmat, menyantuni rakyat dan meringankan
kesusahan sesama insan,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar semua keluarga terjejas diberikan kekuatan dan ketabahan untuk membina semula kehidupan mereka. – UMNO Online
