‘Kita Geng Biru’ Gegar Melaka, BN Sedia Perkukuh Khidmat
ALOR GAJAH, 21 Okt – Gelombang ‘Kita Geng Biru’ terus menyemarakkan Parlimen Alor Gajah apabila jentera Barisan Nasional (BN) berhimpun di Dewan Kampung Permai, Machap Umboo, bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi gerak kerja politik di kawasan berkenaan, malam tadi.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata semangat dan kesiapsiagaan jentera BN yang ditunjukkan pada pertemuan itu mencerminkan komitmen mereka untuk terus memperkukuh gerak kerja di Alor Gajah.

Beliau berkata, BN berazam untuk mengembalikan penguasaan di Parlimen Alor Gajah menerusi pendekatan yang mengutamakan khidmat kepada rakyat dan pelaksanaan agenda pembangunan.
Menurutnya, prinsip kepimpinan yang dipegang jelas, iaitu setiap wakil rakyat perlu sentiasa berkhidmat untuk masyarakat, selaras dengan slogan “Rakyat Dahulu, Baru Jadi Wakil Rakyat”.
Katanya, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri, termasuk program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), Hari EXCO Bertemu Rakyat (HEBAT) dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, menjadi antara pendekatan untuk memastikan pemimpin sentiasa turun padang serta mendengar sendiri keperluan dan permasalahan rakyat.
“Kerajaan negeri komited untuk terus mendampingi masyarakat, memastikan suara rakyat diberi perhatian serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, BN Melaka turut komited meneruskan pelaksanaan projek pembangunan dan menarik pelaburan bernilai tinggi bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi serta membuka lebih banyak peluang kepada rakyat.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya mengamalkan budaya berkempen secara sihat, berhemah dan berlandaskan hujah, tanpa menjadikan serangan peribadi sebagai pendekatan politik.
Bagaimanapun, Ab Rauf mengingatkan jentera BN agar terus bersiap siaga dan tidak memandang ringan perkembangan politik semasa.
“Jangan sesekali mengejutkan harimau yang sedang tidur!” katanya. – UMNO ONLINE
