Ziarah Kasih Perkasa Hubungan Masyarakat Setempat – Rais

TANGGA BATU, 16 Okt – Usaha mendekati masyarakat dan mengenal pasti keperluan penduduk setempat diteruskan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin menerusi pelbagai program termasuklah program Ziarah Kasih.

Program berkenaan menyaksikan beliau menziarahi lapan buah rumah selepas menghadiri Program Jualan Sayang Rakyat di Dewan ADC, Kampung Paya Rumput Jaya.

Menerusi kunjungan itu, Rais berpeluang bertanya khabar serta melihat sendiri keadaan penduduk, termasuk keluarga yang memerlukan bantuan membaik pulih rumah dan mereka yang sedang berdepan pelbagai cabaran kehidupan.

“Pendekatan turun padang seperti itu penting bagi memastikan keperluan masyarakat dapat dikenal pasti secara langsung, bukan hanya berdasarkan laporan semata-mata.

“Usaha mendekati penduduk akan diteruskan bagi memahami permasalahan yang dihadapi serta membantu mengikut kemampuan dan keperluan semasa,” katanya.

Beliau turut berharap agar keluarga yang sedang berdepan kesukaran diberikan kekuatan dan dipermudahkan segala urusan.

“Ziarah Kasih bukan sekadar kunjungan, sebaliknya menjadi ruang untuk mendengar, memahami dan mengenal pasti keperluan sebenar masyarakat agar bantuan yang bersesuaian dapat diusahakan,” tambahnya.

Antara yang diziarahi ialah Puan Timah Jusoh yang memerlukan pembaikan dinding rumah, Puan Suria Kasim yang berdepan masalah bumbung dan tiang rumah serta Encik Yaacob Ismail, penerima bantuan rumah Lembaga Perumahan Melaka (LPM).

Beliau turut mengunjungi beberapa keluarga lain, termasuk penerima bantuan orang kurang upaya (OKU) dan bantuan bulanan.

Dalam setiap kunjungan, sumbangan serta kit makanan turut disampaikan sebagai tanda keprihatinan bagi membantu meringankan beban keluarga yang diziarahi.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO