Agenda Malaysia Biru: Peluang UMNO/BN Perkukuh Kembali Keyakinan Rakyat
KUALA LUMPUR, 15 Okt – Ketua Penerangan UMNO Bahagian Segambut, Muizz Nasruddin berpandangan bahawa Agenda Malaysia Biru yang digagaskan ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu menjadi peluang untuk UMNO/Barisan Nasional (BN) memperkukuh kembali keyakinan rakyat.
Ujarnya, gagasan tersebut membawa rakyat untuk melihat masa depan negara dari perspektif yang lebih besar, bukan hanya tertumpu kepada percaturan politik mahupun pilihan raya semata-mata.

“Sejujurnya, saya cukup kagum ketika mendengar ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, khususnya apabila beliau membentangkan visi Agenda Malaysia Biru.
“Bagi saya, Agenda Malaysia Biru perlu menjadi lebih daripada sekadar slogan. Ia mesti diterjemahkan kepada dasar dan tindakan yang mampu meningkatkan taraf hidup rakyat, membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda, memperkukuh ekonomi serta memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati secara lebih adil.
”Saya melihat ini sebagai peluang untuk UMNO memperkukuh kembali keyakinan rakyat melalui hala tuju yang jelas dan tawaran yang relevan dengan keperluan semasa,” katanya kepada UMNO Online.
Tambahnya, setiap ahli parti bertanggungjawab untuk memastikan visi tersebut tidak terhenti di pentas ucapan atau menjadi bahan kempen semata-mata.
“Namun, visi yang baik mesti disusuli dengan pelaksanaan yang berkesan. Akhirnya, rakyat bukan sekadar mahu mendengar apa yang kita rancangkan, tetapi mahu melihat dan merasai sendiri hasilnya dalam kehidupan seharian mereka.
“Mesej saya mudah. Jika kita benar-benar yakin dengan visi Agenda Malaysia Biru yang dibentangkan oleh Presiden, maka kita semua mempunyai tanggungjawab untuk menjayakannya.
“Saya kagum dengan hala tuju yang digariskan, tetapi tanggungjawab kita sebagai ahli parti adalah memastikan visi tersebut tidak terhenti di pentas ucapan atau menjadi bahan kempen semata-mata. Kita perlu menerjemahkannya kepada tindakan yang nyata, memperbaiki kelemahan, memperbaharui pendekatan dan mendekati rakyat secara konsisten.
“Jangan hanya muncul ketika pilihan raya. Kita perlu terus bersama rakyat, mendengar pandangan mereka, menerima teguran dan berusaha menyelesaikan masalah yang mereka hadapi,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa Agenda Malaysia Biru boleh memainkan peranan penting sebagai satu gagasan yang turut memikirkan masa depan generasi akan datang.

“Pada masa yang sama, kita perlu memberikan perhatian yang lebih serius kepada generasi muda. Mereka mahu melihat peluang, masa depan yang terjamin dan sebuah negara yang membolehkan mereka maju berdasarkan usaha serta kemampuan sendiri.
“Akhirnya, saya percaya kekuatan UMNO dan Barisan Nasional bukan hanya diukur berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi, tetapi juga melalui sejauh mana kita berjaya mendapatkan dan mengekalkan keyakinan rakyat. Kita mahu bukan sahaja menang hari ini, tetapi terus dipercayai pada hari esok.
“Itulah semangat yang perlu kita bawa daripada kemenangan kepada keyakinan, dan daripada visi kepada tindakan. Ini kerana matlamat kita bukan sekadar membirukan peta pilihan raya, tetapi membina sebuah Malaysia yang lebih makmur, berdaya saing dan mempunyai masa depan yang lebih baik untuk semua,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
