Semoga Kekusutan Dirungkai Penuh Adab, Ikut UUTKNS – Mohamad Fadil

KUALA LUMPUR, 16 Okt – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin berharap agar krisis perlembagaan yang berlaku di negeri tersebut akan dapat dirungkai dengan penuh adab berlandaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau menjunjung kasih di atas titah Majlis Raja-Raja (MRR) agar konflik tersebut dapat diselesaikan mengikut lunas Adat Perpatih.

“Semoga segala kekusutan yang berlaku akan dirungkai dengan penuh adab dan tertib serta mengikut UUTKNS.

“Bulat Air Kerana Pembetung, Bulat Manusia Kerana Muafakat.

“Adat Perpatih ini berteraskan nilai Islam, demokrasi, salasilah keturunan mengikut susur galur ibu, seni dan budaya.

“Menjunjung kasih atas titah Raja-Raja Melayu. Daulat Tuanku,” katanya.

Pada Rabu, media melaporkan Raja-Raja Melayu menegaskan pihak luar tidak seharusnya mencampuri atau mempolitikkan krisis takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sebaliknya menyeru semua pihak mengutamakan penyelesaian berlandaskan undang-undang dan adat negeri.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, sebarang perbezaan pendirian berhubung isu berkenaan hendaklah diselesaikan menerusi saluran yang sah, berautoriti dan berwibawa dalam semangat syura serta musyawarah.

Menurut beliau, proses penyelesaian itu mestilah berlandaskan undang-undang serta berpandukan peruntukan yang terkandung dalam UUTKNS 1959.

KENYATAAN UNDANG YANG EMPAT 15 OKT 2026

Titah tersebut turut disambut oleh Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin melalui sabda mereka yang menyatakan bahawa selepas 15 September 2026, Tuanku Muhriz tidak lagi boleh menjalankan fungsi dan kuasa pemerintahan di samping menyeru Tuanku Muhriz agar berhenti melaksanakan fungsi serta kuasa kedaulatan Yang di-Pertuan Besar.

Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin turut menyambut baik sebarang ruang perundingan dengan Tunku Muhriz berkenaan urusan penurunan takhta secara baik, dalam semangat kekeluargaan dan tanpa merendah atau menghina mana-mana pihak.

Tegas Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, krisis takhta ini tidak wajar berpanjangan sehingga menggugat perjalanan kuasa pentadbiran negeri. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO