Sayap UMNO Sabah Perkukuh Penyelarasan Gerak Kerja

KOTA KINABALU, 14 Okt – Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sabah terus memperkukuh kerjasama serta penyelarasan gerak kerja organisasi menerusi Mesyuarat Khas Pengurusan kedua-dua pergerakan yang berlangsung di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Kota Kinabalu, semalam.

Mesyuarat tersebut menjadi platform penting bagi menyelaras perancangan program, memperkemas pelaksanaan aktiviti serta membincangkan hala tuju gerak kerja bagi memastikan kedua-dua sayap UMNO Sabah bergerak secara tersusun, seiring dan berfokus.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Sabah, Ummi Nabilah Jamal, menekankan kepentingan kesepaduan antara Pemuda dan Puteri dalam memastikan setiap perancangan organisasi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Penyelarasan gerak kerja antara Pemuda dan Puteri merupakan aspek penting dalam memperkukuh organisasi. Kita perlu bergerak seiring, saling melengkapi dan memastikan setiap perancangan diterjemahkan kepada tindakan yang jelas serta tersusun.”

Beliau berkata, kerjasama erat antara kedua-dua pergerakan perlu terus diperkasakan melalui komunikasi yang berkesan, komitmen kepimpinan serta kesungguhan seluruh jentera dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah ditetapkan.

Menurutnya, perancangan yang baik perlu disokong oleh penyelarasan yang mantap supaya setiap program dapat dilaksanakan mengikut keutamaan dan mencapai matlamat yang disasarkan.

“Kekuatan organisasi bukan hanya terletak pada perancangan, tetapi juga pada keupayaan kita untuk bekerja sebagai satu pasukan. Apabila Pemuda dan Puteri mempunyai hala tuju yang jelas serta semangat kerjasama yang kukuh, gerak kerja dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan,” katanya.

Antara agenda utama mesyuarat ialah perancangan program akan datang, penyelarasan aktiviti serta penetapan hala tuju organisasi bagi memperkukuh kesiapsiagaan jentera di peringkat negeri dan bahagian.

Ujarnya, penyelarasan ini juga penting bagi memastikan peranan masing-masing dapat digerakkan secara bersepadu, di samping membuka ruang kepada perkongsian idea dan pengalaman antara kepimpinan kedua-dua pergerakan.

“Setiap ahli Pemuda dan Puteri UMNO Sabah diharap terus memperkukuh semangat kebersamaan serta mengekalkan komitmen dalam melaksanakan setiap agenda yang dirancang, dengan penekanan terhadap gerak kerja yang sistematik, komunikasi yang berkesan dan kerjasama berterusan,” katanya lagi.

Turut bersama dalam mesyuarat ini ialah Ketua Pegerakan Pemuda UMNO Sabah, Sufian Abdul Karim dan juga kepimpinan kedua-dua sayap UMNO Sabah. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO