Jelajah Mega Penerangan UMNO Bergerak Seiring Perkembangan Teknologi Maklumat

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Jelajah Mega Penerangan UMNO Malaysia bergerak seiring dengan perkembangan teknologi maklumat, kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ujarnya, program tersebut dilaksanakan untuk menyahut seruan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi memperkenalkan Agenda Malaysia Biru dan memberi penerangan mengenai isu-isu semasa.

“Hari ini kita mengadakan Jelajah Penerangan bagi Negeri Selangor dan Negeri Sembilan secara gabungan. Insya-Allah, minggu depan saya akan berada di Besut untuk program yang sama bagi negeri Terengganu dan Kelantan.

”Sebenarnya, program ini dilaksanakan susulan ucapan dasar Yang Berhormat Presiden sebagai persediaan untuk memperkenalkan konsep Agenda Malaysia Biru. Pada masa yang sama, kita turut melihat isu-isu semasa yang berlaku.

“Setakat ini, antara isu yang paling hangat ialah isu di Negeri Sembilan dan persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Jadi, kita berdialog dengan jentera-jentera penerangan di setiap bahagian, terutama sekali untuk membincangkan isu yang dihadapi oleh setiap bahagian.

“Saya berharap ada dua perkara yang dapat digerakkan secara serentak oleh jentera penerangan. Pertama, melalui program-program penerangan seperti ini, kita dapat meningkatkan kefahaman, kesedaran dan pengetahuan ahli. Pada masa yang sama, kita juga akan memperbanyakkan latihan berkaitan penggunaan media sosial,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selepas program Jelajah Mega Penerangan UMNO Malaysia peringkat Negeri Selangor dan Negeri Sembilan yang diadakan di Menara Dato’ Onn, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berpandangan bahawa semua platform digital perlu dimanfaatkan oleh para jentera untuk memberi penerangan kepada rakyat.

“Bagi pihak Penerangan UMNO Malaysia, cabaran komunikasi politik hari ini bukan lagi sekadar berceramah seperti dahulu. Sebaliknya, kita perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi maklumat, termasuk kecerdasan buatan (AI) dan pelbagai platform media sosial seperti Threads, X, Facebook dan Instagram.

“Semua platform ini perlu menjadi rakan kepada komunikasi politik kita, bukan sahaja di peringkat negeri, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi juga di setiap bahagian.

“Kita mahu mereka selesa menggunakan platform-platform ini dan berasa janggal atau menganggap penggunaan media sosial hanya sesuai untuk golongan muda. Walaupun sudah berusia, mereka tetap boleh memanfaatkan platform tersebut untuk menyampaikan maklumat dan berkomunikasi dengan masyarakat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berharap agar usaha tersebut akan mencapai pelbagai matlamat dan memberi respons positif terhadap gerakan komunikasi politik Penerangan UMNO Malaysia.

“Saya melihat Agenda Malaysia Biru ini sebagai sesuatu yang sangat penting kerana ia akan menjadi asas kepada pembentukan manifesto kita.

“Presiden juga telah memberikan hala tuju kepada barisan kepimpinan dan sentiasa mengingatkan kita tentang usaha membina gelombang untuk membirukan Malaysia.

“Jadi, saya berharap usaha yang kita gerakkan melalui program ini dapat mencapai beberapa matlamat serentak dan memberikan respons yang positif terhadap gerakan komunikasi politik Penerangan UMNO Malaysia,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO