Agenda Malaysia Biru Isyarat Kesiapsiagaan UMNO Hadapi Pilihan Raya – Azalina

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Agenda Malaysia Biru dan Gelombang Biru yang digerakkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu diterjemahkan menerusi kesiapsiagaan jentera parti menghadapi pilihan raya, termasuk memperkukuh peranan media sosial dalam menyampaikan maklumat dan menangani penyebaran perkara tidak benar.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penggunaan media sosial bukan sekadar menyebarkan maklumat kepada orang ramai, sebaliknya perlu dimanfaatkan untuk membendung maklumat tidak tepat yang boleh mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap parti.

“Apabila Presiden menggerakkan Gelombang Biru, maknanya kita perlu bersedia untuk pilihan raya.

“Gerakkan media sosial bukan hanya dengan menyebarkan maklumat kepada orang ramai, tetapi juga menyekat perkara yang tidak betul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Jelajah Mega Penerangan UMNO Malaysia peringkat Negeri Selangor dan Negeri Sembilan di Auditorium UMNO, Menara Dato Onn, di sini, hari ini.

Menurut Azalina yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi berkata, persepsi memainkan peranan penting dalam politik apabila sesuatu isu, termasuk pendakwaan yang belum menghasilkan keputusan bersalah, boleh digunakan untuk membentuk tanggapan negatif terhadap parti.

“Politik adalah persepsi. Misalnya pendakwaan, walaupun masih belum didapati bersalah, tetapi mereka gunakan perkara itu untuk menjatuhkan kita dengan persepsi,” katanya.

Sehubungan itu tegasnya, jentera penerangan perlu lebih bersedia dan berperanan aktif dalam memastikan maklumat yang tepat disampaikan kepada masyarakat, selain menangani naratif yang boleh menjejaskan persepsi terhadap UMNO.

Azalina turut menekankan Agenda Malaysia Biru yang merupakan amanat Presiden perlu diteruskan sebagai sebahagian daripada gerak kerja parti.

“Amanat daripada Presiden ini perlu diteruskan,” katanya.

Beliau berkata, usaha memperkukuh penerangan parti perlu bergerak seiring dengan pelaksanaan agenda berkenaan bagi memastikan mesej dan hala tuju UMNO dapat disampaikan secara berkesan kepada rakyat.

Dalam ucapan terbabit Azalina turut berkongsi berkaitan isu-isu semasa dengan khalayak.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Megat Zulkarnain Omar Din; Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Hasim Rusdi; Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain; Ketua penerangan UMNO Negeri Sembilan, Muhammad Sufian Maradzi dan ketua-ketua penerangan empat peringkat Selangor dan Negeri Sembilan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO