RUU Makanan 2026: Perlu Tegas, Adil, Tidak Bebankan Peniaga Mikro – Mandziri
KUALA LUMPUR, 8 Okt – Rang Undang-Undang (RUU) Makanan 2026 yang meminda Akta Makanan 1983 [Akta 281] disifatkan penting dan relevan bagi mendepani perubahan dalam rantaian industri makanan moden, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira aspek penguatkuasaan serta kelangsungan peniaga mikro.
Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib ketika membahaskan RUU berkenaan di Dewan Rakyat hari ini berkata, sokongan terhadap pindaan itu bukanlah satu cek kosong, sebaliknya beberapa perkara pokok perlu diberikan perhatian khusus termasuk data operasi penguatkuasaan, ketelusan tindakan serta hak usahawan kecil.
Beliau memberi tumpuan kepada cadangan memperkenalkan Seksyen 11A baharu melalui Fasal 13 yang memberikan kuasa menutup premis yang digunakan untuk menyediakan atau menjual makanan yang mengandungi bahan yang memudaratkan kesihatan.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan perlu memastikan peniaga tidak menjadi mangsa kelemahan infrastruktur awam, khususnya berkaitan isu makhluk perosak dan sistem perparitan.
“Kita nak premis perniagaan makanan ini bersih. Tetapi isu tikus, parit kotor berpunca kelemahan sistem perparitan awam bawah penyeliaan pihak berkuasa tempatan. Bukannya salah peniaga 100 peratus. Tetapi kenapa peniaga kecil sahaja tanggung rugi dan premis ditutup?” katanya.
Beliau turut mempersoalkan mekanisme Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan garis panduan penutupan premis dilaksanakan secara telus dan tidak berat sebelah, selain meminta sokongan atau program pemulihan disediakan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, pendekatan penguatkuasaan seharusnya bukan semata-mata menghukum, tetapi turut mendidik dan membantu peniaga meningkatkan standard keselamatan makanan.
“Adakah KKM bakal buat satu kajian untuk melaksanakan SOP pemulihan yang pantas bagi membantu peniaga mikro dan warung makanan kecil supaya tidak bergantung tanpa pendapatan akibat birokrasi?” soalnya.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu Fasal 4 dan Fasal 9, khususnya berkaitan kawal selia iklan serta akses kepada maklumat berekod, data berkomputer dan data digital bagi tujuan siasatan transaksi makanan dalam talian.
Menurutnya, perkembangan pembelian makanan menerusi platform digital seperti TikTok, Facebook dan Instagram menyebabkan penguatkuasaan keselamatan makanan kini perlu mengambil kira ekosistem dalam talian.
Beliau meminta penjelasan mengenai kesiapsiagaan KKM dari segi logistik, kepakaran forensik digital dan jumlah pegawai penguat kuasa bagi memantau transaksi makanan dalam talian.
“Jangan sampai undang-undang yang kita gubal ini cantik di atas kertas, tetapi lompong dari sudut pengawalseliaan digital kerana kekangan aset dan kepakaran teknologi,” katanya.
Beliau turut membangkitkan isu penjualan makanan buatan sendiri (homemade food) menerusi media sosial serta meminta KKM memperjelaskan prosedur pemantauan terhadap profil dan aktiviti peniaga makanan dalam talian.
Katanya, langkah kawal selia itu bukan bertujuan menyekat periuk nasi peniaga kecil, sebaliknya memastikan makanan yang dijual dan dihantar kepada pengguna berada pada tahap keselamatan yang ditetapkan.
Manndzri seterusnya menegaskan pindaan Akta Makanan 1983 perlu menjadi instrumen perlindungan kesihatan awam, namun pelaksanaannya mesti tegas, adil dan berpijak pada realiti operasi peniaga kecil.
“Jangan biarkan jerung-jerung industri yang memalsukan label terlepas, tetapi makcik menjual karipap, pisang goreng di kampung pula yang teraniaya akibat birokrasi peraturan primer ini,” katanya. – UMNO Online
