Pemansuhan AUKU Dilaksana Secara Tersusun – Dr Zambry

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) akan dilaksanakan secara terancang dan berfasa bagi memastikan tidak berlaku kelompangan perundangan yang boleh menjejaskan kesinambungan tadbir urus serta pengoperasian Universiti Awam.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, AUKU merupakan antara kerangka perundangan utama yang membentuk landskap pendidikan tinggi negara sejak lebih lima dekad lalu, termasuk menjadi asas perundangan bagi penubuhan dan tadbir urus Universiti Awam.

“Pemansuhan AUKU perlu dilaksanakan secara terancang dan berfasa bagi memastikan tidak berlaku sebarang kelompangan perundangan yang boleh menjejaskan kesinambungan tadbir urus dan pengoperasian Universiti Awam,” katanya pada sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, keperluan memperbaharui kerangka perundangan pendidikan tinggi telah diberikan perhatian sejak pembangunan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035, termasuk cadangan pembangunan Akta Satu Pendidikan Tinggi atau One Higher Education Act (OHEA).

Katanya, pada 15 Ogos 2026, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan hasrat Kerajaan untuk memansuhkan AUKU, sekali gus memberikan hala tuju yang jelas bagi meneruskan pembaharuan pendidikan tinggi khususnya dalam memperluas kebebasan mahasiswa.

“Susulan itu, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 19 Ogos 2026 telah menetapkan bahawa pemansuhan AUKU perlu dilaksanakan secara tersusun, menyeluruh dan berhati-hati.

“Ini kerana AUKU turut menjadi asas perundangan bagi penubuhan, pentadbiran dan tadbir urus Universiti Awam. Kita perlu memastikan kesinambungan pengoperasian universiti sepanjang proses peralihan,” katanya.

Zambry berkata, dalam Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 13 pada 26 Ogos lalu, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa langkah yang boleh memperluas kebebasan mahasiswa perlu dilaksanakan segera tanpa menunggu keseluruhan proses penggubalan akta baharu selesai.

Susulan penegasan itu, katanya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada 27 Ogos 2026 mengeluarkan kenyataan media berhubung langkah segera memperluas kebebasan bersuara dan hak berpersatuan mahasiswa.

“Kementerian telah meneliti peruntukan dalam AUKU serta Kaedah-Kaedah Tatatertib Pelajar yang mengehadkan kebebasan tersebut untuk dikecualikan daripada pemakaian dalam kerangka perundangan sedia ada,” katanya.

Menurut beliau, langkah berkenaan merangkumi kebebasan pengurusan persatuan dan kelab, pengurusan aktiviti pelajar serta kebebasan bersuara, berhimpun secara aman, menggunakan platform komunikasi dan mengedar serta menerbitkan dokumen.

Dalam pada itu, Zambry berkata, KPT turut mengarahkan supaya semua prosiding tatatertib berkaitan kebebasan bersuara, penyataan pandangan, kritikan awam dan perhimpunan secara aman di semua Universiti Awam dihentikan serta-merta.

“Ini merupakan langkah segera yang diambil sementara pindaan undang-undang dan pembangunan akta baharu diteruskan,” katanya.

Beliau berkata, KPT pada masa sama telah mengambil langkah awal dengan meneliti semula peruntukan berkaitan mahasiswa, khususnya Seksyen 15 dan Seksyen 16 AUKU.

Katanya, penelitian semula itu bertujuan memperluas ruang kebebasan mahasiswa untuk bersuara dan berpersatuan, selain memberi ruang lebih luas kepada mahasiswa menyuarakan pandangan secara bertanggungjawab. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO