‘Good Old Days’ Tidak Memadai, BN Perlu Tunjuk Apa Selepas Ini – Khairy
KUALA LUMPUR, 8 Okt – Sentimen nostalgia terhadap kegemilangan masa lalu boleh dimanfaatkan sebagai sebahagian daripada strategi kempen politik, namun ia tidak memadai tanpa gagasan jelas mengenai hala tuju negara dan tawaran kepada generasi akan datang.
Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, nostalgia khususnya terhadap era sebelum 2018 mungkin mempunyai nilai emosi kepada sesetengah generasi, malah boleh membentuk persepsi ideal dalam kalangan generasi muda yang tidak melalui tempoh tersebut.
“Slogan ‘Bring back the good old days’ boleh digunakan untuk mencetuskan sentimen berkenaan, tetapi persoalan lebih besar yang perlu dijawab ialah ‘what next?’ atau apa yang akan dilakukan selepas itu. Kalau saya nak jadikan ini sebagai kempen pilihan raya, saya memilih slogan ‘Bring back the good old days’. Bagi generasi kita, kita tahu ‘the good old days’, iaitu zaman sebelum 2018.
“Kita boleh jual nostalgia, ‘Bring back the good old days’, tetapi ia tidak mencukupi. Sebab soalan kedua selepas ‘Bring back the good old days’ adalah ‘what next?’ Apa selepas ini? Takkanlah kita hendak bersandarkan semata-mata kepada kegemilangan masa lampau. Kita kena tunjuk juga apa yang kita mahu hadiahkan untuk generasi akan datang.
“Untuk generasi Gen Z, mereka mungkin tidak tahu, tetapi mereka membayangkan sesuatu yang ideal yang tidak ada pada hari ini. Jadi, ada rasa nostalgia. Kita ambil nostalgia itu sebagai satu strategi tetapi bagi saya, nostalgia itu sahaja tidak cukup,” beliau berkata demikian pada sesi di BN Forum ke-12 di Menara Dato’ Onn, malam tadi.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung BN Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi; Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta peserta-peserta BN forum.
Beliau turut berpandangan bahawa Agenda Malaysia Biru boleh menjadi sebahagian daripada kerangka ke hadapan, namun gagasan tersebut perlu diterjemahkan dalam bentuk cadangan yang lebih jelas dan mudah difahami rakyat.
Mengulas lanjut, Khairy menegaskan, Malaysia tidak seharusnya terlalu berbangga dengan angka pelaburan dan pembangunan teknologi yang besar semata-mata, sebaliknya perlu melihat kesan sebenar kepada rakyat serta keupayaan negara menghasilkan teknologi sendiri.
“Jangan kita mendabik dada dengan angka-angka yang besar, sebab kita tidak tahu kesannya macam mana. Kita nampak kesannya sebab itu kita kata, bukan hanya made in Malaysia, bukan hanya data centre in Malaysia, tetapi aplikasi AI yang made by Malaysians.
“Ini yang kita kena jelaskan kepada rakyat bahawa ini adalah agenda yang melihat masa depan masyarakat,” katanya lagi.
Tambah beliau, antara perkara lain yang perlu diberi perhatian ialah agenda ‘negara peduli’, khususnya dalam menghadapi perubahan demografi yang semakin ketara.
“Malaysia kini sedang melalui perubahan demografi besar yang bakal memberi kesan terhadap struktur masyarakat dalam tempoh beberapa dekad akan datang. Kenapa negara peduli? Sebab negara kita sedang melalui satu perubahan demografi yang sangat besar, yang mungkin paling disruptif dalam tempoh hayat kita,” ujarnya. – UMNO Online
