PRN Melaka: Rapatkan Saf, Gerakkan Gelombang Biru BN

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru seluruh keluarga besar Barisan Nasional (BN) agar merapatkan saf, memperkukuh perpaduan dan menggerakkan sepenuhnya jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata, selepas tarikh-tarikh penting PRN Melaka diketahui, seluruh anggota parti perlu meningkatkan kesiapsiagaan dan memperkemas gerak kerja di semua peringkat.

Menurut beliau, kekuatan BN dalam menghadapi pilihan raya tidak hanya bergantung kepada kepimpinan, sebaliknya memerlukan kesatuan hati, kekuatan jentera serta komitmen dan kerja keras daripada seluruh anggota parti.

“Masa untuk kita rapatkan saf, kukuhkan perpaduan dan gerakkan seluruh jentera Barisan Nasional. Perjuangan ini memerlukan kesatuan hati, kekuatan jentera dan kerja keras daripada setiap peringkat,” katanya.

Tengku Adnan yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya turut mengajak seluruh pimpinan, jentera, ahli dan penyokong BN supaya tidak menunggu dan terus turun ke akar umbi bagi mendekati rakyat serta menyampaikan suara dan perjuangan parti.

Katanya, setiap peringkat dalam parti mempunyai peranan penting untuk memastikan kekuatan jentera BN dapat digerakkan secara tersusun, bersepadu dan berterusan.

“Ayuh seluruh keluarga besar BN, daripada pimpinan, jentera, ahli dan penyokong untuk terus bersiap sedia, turun ke akar umbi dan bawa suara perjuangan kita kepada rakyat,” katanya.

Beliau pada masa sama mengingatkan seluruh anggota BN supaya tidak leka, apatah lagi membiarkan sebarang perbezaan mengganggu kesatuan parti ketika menghadapi PRN Melaka.

“Jangan leka, jangan berpecah, jangan berhenti berjuang. Biar Gelombang Biru BN terus bergelora dan menyatukan kita di PRN Melaka,” tegasnya.

Tengku Adnan berkata, kesatuan dan kekuatan jentera merupakan antara kunci penting untuk memastikan BN mampu menghadapi pilihan raya dengan penuh keyakinan.

Justeru, beliau menyeru seluruh keluarga besar BN supaya bergerak sebagai satu pasukan, memperkukuh kerja akar umbi dan memastikan momentum perjuangan terus dipacu sehingga hari pengundian.

“Kita bersatu, kita bekerja, kita berjuang. Insya-Allah, kita menang!” katanya.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 14 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka Ke-16 dengan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, manakala tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari.

Sementara itu, 10 November ditetapkan sebagai hari pengundian awal bagi PRN Melaka Ke-16.

PRN Melaka yang diadakan pada 2021 menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang 21 daripada 28 kerusi dipertandingkan seterusnya membentuk kerajaan negeri, manakala Pakatan Harapan (PH) menang lima kerusi diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan dua kerusi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO