Siti Aminah Gesa Kerajaan Tangani Isu Pan Borneo, Banjir
KUALA LUMPUR, 7 Okt – Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching meminta Kementerian Kerja Raya (KKR) mengambil langkah konkrit bagi memastikan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A, khususnya pakej WP02 Kampung Melalia–Beaufort, dapat disiapkan lebih awal daripada sasaran Mei 2028.
Beliau berkata perkara itu penting memandangkan rakyat Beaufort telah menunggu sekian lama untuk menikmati manfaat projek berkenaan, selain memastikan kelewatan tidak terus berlaku.
“Rakyat Beaufort telah menunggu sekian lama. Kita memerlukan tarikh siap yang jelas, sasaran kemajuan bulanan yang boleh dipantau serta mekanisme pertanggungjawaban sekiranya sasaran kembali tersasar,” katanya ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Bilangan dua Tahun 2026 di Dewan Rakyat.
Menurutnya, berdasarkan laporan audit, daripada 35 pakej kerja Pan Borneo Sabah Fasa 1, hanya empat pakej telah siap sehingga 31 Mac 2026, manakala 31 pakej masih dalam pelaksanaan dan sembilan daripadanya dikategorikan sebagai projek sakit.
Katanya, kos kontrak projek turut meningkat daripada RM17.910 bilion kepada RM18.960 bilion.
Bagi kawasan Beaufort, Siti Aminah berkata perhatian khusus perlu diberikan kepada WP01 Sindumin–Kampung Melalia dan WP02 Kampung Melalia–Beaufort.
“WP01 telah mencapai sekitar 89.2 peratus, manakala WP02 sekitar 63.3 peratus. Berdasarkan pelan pemulihan, WP01 disasarkan siap pada Disember 2026, manakala WP02 pada Mei 2028,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu Arahan Perubahan Kerja (Variation Order) serta tadbir urus projek, termasuk kelulusan yang melebihi had kuasa ditetapkan.
Menurutnya, setiap perubahan skop, kos dan tempoh pelaksanaan perlu diberi perhatian serius kerana mempunyai implikasi terhadap wang rakyat.
Siti Aminah turut mempersoalkan isu kehilangan data projek apabila LKAN merekodkan kehilangan puluhan ribu fail Sistem Maklumat Projek, dengan sebahagian data masih belum berjaya dipulihkan.
“Bagaimana projek bernilai berbilion ringgit dapat dipantau dan diaudit secara berkesan sekiranya rekod projek sendiri tidak lengkap?” soalnya.
Beliau berharap KKR memperkukuh sistem pendigitalan, sandaran data serta kawalan akses bagi memastikan perkara sama tidak berulang.
Selain itu, beliau meminta perhatian diberikan terhadap isu pengambilan tanah dan pembayaran pampasan, termasuk memastikan pemilik tanah di Beaufort yang masih belum menerima pampasan diberikan status tuntutan, alasan kelewatan serta tempoh penyelesaian yang jelas.
Siti Aminah turut mengaitkan dapatan LKAN dengan isu banjir berulang yang dihadapi penduduk Beaufort.
Beliau berkata pendekatan pembangunan lembangan sungai secara bersepadu seperti yang dilaksanakan di Sungai Golok wajar diberi perhatian dalam konteks Beaufort yang bergantung kepada sistem Sungai Padas.
Katanya, banjir akibat hujan lebat berpanjangan di kawasan hulu bukan sahaja menjejaskan kediaman penduduk, malah turut memberi kesan kepada jalan perhubungan, sekolah, aktiviti ekonomi, pertanian dan sumber pendapatan rakyat.
Menurutnya, Beaufort sudah mempunyai Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) Sungai Padas yang disiapkan pada 2018, melibatkan 24 strategi dan 67 program tindakan dengan anggaran kos RM2.1 bilion.
“Kerajaan juga telah memaklumkan bahawa RTB Sungai Padas telah bermula pada November 2024. Sehubungan itu, saya memohon supaya pelaksanaan RTB Sungai Padas diselaraskan dengan sistem saliran, pembangunan bandar Beaufort dan langkah kawalan banjir di kawasan kampung supaya semuanya bergerak di bawah satu kerangka ketahanan banjir yang bersepadu,” katanya.
Beliau berkata kejayaan sesuatu projek tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jumlah peruntukan atau projek yang diluluskan, sebaliknya berdasarkan keupayaan projek berkenaan memberikan manfaat sebenar kepada rakyat.
“Bagi Beaufort, isu Pan Borneo dan ketahanan banjir merupakan perkara asas yang perlu diberi perhatian serius. Sebab itu saya memohon agar Kerajaan memberikan garis masa yang jelas, supaya rakyat bukan sahaja mengetahui apa yang dirancang, tetapi juga bila manfaat tersebut dapat mereka nikmati,” katanya. – UMNO Online
