Laporan Ketua Audit Negara: Mohd Isam Bangkit Empat Isu Pengurusan Kewangan Negara
KUALA LUMPUR, 7 Okt – Empat isu utama berkaitan pengurusan kewangan negara dibangkitkan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa, ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 di Dewan Rakyat.
Isu berkenaan meliputi peningkatan liabiliti Kerajaan Persekutuan, tunggakan Akaun Belum Terima (ABT), Pinjaman Boleh Dituntut serta pengurusan Wang Pendahuluan Kontraktor.
Mengenai liabiliti Kerajaan Persekutuan, Mohd Isam berkata prestasi kewangan negara pada 2025 menunjukkan perkembangan positif apabila hasil Kerajaan Persekutuan meningkat kepada RM336.07 bilion.
Katanya, defisit fiskal turut menurun kepada 3.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding 4.1 peratus pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, beliau berkata jumlah liabiliti Kerajaan Persekutuan meningkat kepada RM1.653 trilion pada tahun sama, sekali gus memerlukan perhatian serius daripada Kerajaan.
“Kerajaan perlu menjelaskan strategi dan langkah konkrit untuk mengurangkan beban hutang jangka panjang, selain memastikan langkah penjimatan dan peningkatan hasil tidak membebankan golongan B40 dan M40,” katanya.
Dalam isu ABT, Mohd Isam membangkitkan tunggakan berjumlah RM51.19 bilion, termasuk RM17.42 bilion yang tertunggak lebih enam tahun.
Beliau berkata jumlah tunggakan itu menunjukkan keperluan untuk memperkukuh mekanisme pemantauan dan kutipan hasil kerajaan supaya wang yang sepatutnya diterima tidak terus tertangguh atau berisiko tidak dapat dikutip.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan Kerajaan membangunkan Dashboard Pemulihan Hasil secara dalam talian bagi memaparkan status kutipan tunggakan secara lebih telus dan sistematik.
Menurutnya, status berkenaan juga wajar dibentangkan secara berkala di Dewan Rakyat bagi membolehkan perkembangan kutipan dipantau oleh wakil rakyat dan rakyat.
Bagi Pinjaman Boleh Dituntut, beliau berkata baki pokok pinjaman pada 31 Disember 2025 berjumlah RM49.22 bilion, manakala faedah dan faedah lewat berjumlah RM2.375 bilion dan tunggakan bayaran balik pula berjumlah RM8.084 bilion, termasuk tunggakan pokok sebanyak RM5.709 bilion.
Mohd Isam seterusnya meminta Kerajaan mengenal pasti jumlah tunggakan yang masih boleh dikutip serta jumlah yang berisiko untuk dihapus kira.
Beliau turut mencadangkan supaya setiap penstrukturan semula pinjaman disertakan pelan pemulihan yang jelas, termasuk sasaran kutipan, tempoh masa dan pihak yang bertanggungjawab melaksanakan tindakan susulan.
“Langkah ini penting bagi memastikan penstrukturan semula pinjaman tidak hanya menangguhkan masalah, sebaliknya benar-benar meningkatkan kadar bayaran balik dan mengurangkan tunggakan,” katanya.
Sementara itu, bagi isu Wang Pendahuluan Kontraktor, LKAN merekodkan baki berjumlah RM2.029 bilion melibatkan 412 projek dan daripada jumlah itu, baki ABT Wang Pendahuluan Kontraktor berjumlah RM72.72 juta, dengan RM68.81 juta melibatkan 24 projek di lima kementerian.
Sebahagian besar tunggakan berkenaan berusia lebih 10 tahun, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan pemantauan, tindakan pemulihan dan penguatkuasaan terhadap kontraktor yang gagal menyelesaikan bayaran.
Mohd Isam mencadangkan supaya sistem amaran awal secara digital diwujudkan bagi memantau wang pendahuluan kontraktor dari peringkat awal pelaksanaan projek.
Katanya, sistem itu perlu memberi amaran apabila projek mengalami kelewatan, berdepan masalah kewangan atau gagal mencapai sasaran kemajuan yang ditetapkan.
Beliau berkata sistem berkenaan juga boleh membantu kementerian dan agensi berkaitan mengambil tindakan lebih awal, termasuk menilai semula kedudukan kontraktor, mempercepatkan proses tuntutan serta mengurangkan risiko wang awam tidak dapat dipulihkan.
Mohd Isam berkata LKAN 2/2026 perlu dijadikan instrumen penting untuk memperkukuh pengurusan wang awam, bukan sekadar menjadi rekod kelemahan yang berlaku selepas sesuatu perbelanjaan dilaksanakan.
Menurutnya, penemuan audit perlu diterjemahkan kepada tindakan pembetulan yang mempunyai garis masa, sasaran dan mekanisme pemantauan yang jelas.
“Pengurusan kewangan negara perlu diperkukuh dari aspek perancangan, perbelanjaan, pemantauan dan pemulihan supaya setiap ringgit wang awam memberikan manfaat maksimum kepada rakyat.
“Ukuran sebenar kejayaan pengurusan kewangan negara bukanlah terletak kepada berapa banyak wang yang dibelanjakan, tetapi berapa banyak kehidupan rakyat yang berjaya kita perbaiki dengan wang tersebut,” katanya. – UMNO Online
