Agenda Malaysia Biru Buka Lebih Banyak Ruang Kepada Generasi Muda – Rizam Ismail
SHAH ALAM, 8 Okt – Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Rizam Ismail berpandangan Agenda Malaysia Biru mampu menjadi antara landasan penting dalam membentuk sebuah negara yang sejahtera, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi muda.
Menurut beliau, agenda yang digariskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu perlu diterjemahkan melalui pelaksanaan yang tersusun dengan sokongan dan dukungan seluruh rakyat Malaysia.
“Agenda Malaysia Biru sebagai negara yang sejahtera dalam masa yang sama dapat memberi banyak peluang pekerjaan kepada generasi muda di dalam negara kita.
“Agenda tersebut juga menggariskan aspirasi untuk membina Malaysia yang berdaulat dan bersatu, inovatif serta berpendapatan tinggi, rakyat makmur dan saksama serta unggul dan disegani dunia.
“Jadi, saya mendoakan agar Agenda Malaysia Biru ini dapat benar-benar diorganisasikan dengan sokongan dan dukungan daripada semua rakyat di Malaysia, khususnya,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Negeri Selangor berkata, kejayaan agenda Malaysia Biru memerlukan kerjasama menyeluruh supaya aspirasi yang dirangka tidak sekadar menjadi gagasan, sebaliknya dapat diterjemahkan kepada dasar, tindakan dan hasil yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Sokongan serta penglibatan pelbagai pihak amat penting bagi memastikan setiap perancangan yang digariskan dapat dilaksanakan secara berkesan dan mencapai matlamat yang ditetapkan.
“Agenda ini tidak boleh hanya berhenti sebagai satu gagasan atau perancangan di atas kertas. Ia mesti diterjemahkan melalui dasar yang jelas, tindakan yang tersusun serta pelaksanaan yang memberi kesan secara langsung kepada rakyat,” katanya lagi.
Justeru, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar itu lagi, kerjasama dan dukungan semua pihak amat penting supaya aspirasi Malaysia Biru dapat direalisasikan dan manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat.
“Kejayaan agenda berkenaan juga bergantung kepada kesediaan semua pihak untuk bergerak secara bersama, mengetepikan perbezaan dan memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat serta masa depan negara.
“Ianya perlu dilihat sebagai usaha berterusan untuk membina negara yang lebih sejahtera, berdaya saing dan menyediakan masa depan yang lebih baik kepada generasi akan datang,” ujarnya. – UMNO Online
