RISDA Pastikan Setiap Peruntukan Beri Manfaat Nyata Kepada Rakyat

KUALA LUMPUR, 30 Sept – RISDA memberi penekanan agar setiap dasar, program dan peruntukan yang dilaksanakan benar-benar diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat, khususnya pekebun kecil getah dan komuniti desa.

Pengerusinya, Manndzri Nasib berkata, amanah yang dipikul RISDA melibatkan 508,000 pekebun kecil getah yang turut merangkumi hampir dua juta ahli isi rumah, sekali gus menuntut setiap inisiatif dilaksanakan dengan berkesan dan memberi impak kepada kehidupan mereka.

“Setiap dasar, program dan peruntukan yang diamanah perlu diterjemah kepada manfaat nyata kepada pekebun kecil, sama ada melalui peningkatan pendapatan, produktiviti mahupun taraf hidup mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan RISDA baru-baru ini.

Menurut beliau, kejayaan RISDA tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan jumlah program yang dilaksanakan atau nilai perbelanjaan, sebaliknya berdasarkan sejauh mana program berkenaan berjaya meningkatkan kesejahteraan pekebun kecil.

“Setiap apa yang dibelanjakan perlu menghasilkan nilai positif kepada rakyat. Pada masa sama, budaya santuni pekebun kecil, menyelesaikan masalah, bekerja secara berpasukan dan bertanggungjawab terhadap hasil tugas perlu diutamakan,” katanya.

Dalam pada itu, Manndzri berkata sektor getah kekal penting sebagai sumber pendapatan utama majoriti pekebun kecil dan usaha memperkukuh ekosistem komoditi berkenaan perlu diteruskan melalui peningkatan produktiviti, rantaian bekalan, pemasaran serta inovasi.

Beliau turut menegaskan sektor agromakanan perlu bergerak seiring dengan sektor getah sebagai sumber pendapatan tambahan yang lebih pelbagai dan mampan kepada pekebun kecil.

Katanya, Program Agromakanan yang dilaksanakan RISDA memberi peluang kepada pekebun kecil dan ahli keluarga menjana pendapatan tambahan menerusi aktiviti pengeluaran makanan, pemprosesan hasil, pemasaran dan keusahawanan.

Beliau berkata BAPK pada tahun ini diamanahkan menguruskan RM392 juta bagi pelbagai program pembangunan KKDW dan RISDA meliputi pembangunan ekonomi, komuniti serta infrastruktur luar bandar.

Justeru, beliau mahu setiap ringgit yang dibelanjakan diterjemahkan kepada hasil dan impak nyata yang benar-benar dirasai penerima manfaat.

Dalam perkembangan berkaitan, Manndzri turut menekankan kepentingan Program Mobile Teaching Factory and Incubator (MTFI) sebagai pendekatan untuk memperkasa usahawan desa melalui pembangunan kemahiran, pemindahan teknologi, pemprosesan produk dan penghasilan produk bernilai tambah.

Beliau berharap program tersebut dapat melahirkan lebih ramai usahawan desa yang mampu membina perniagaan mampan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi desa dan agenda keterjaminan makanan negara.

“Bagi setiap program yang dilaksanakan, kita perlu memikirkan iaitu apakah perubahan yang telah dihasilkan, siapa yang menerima manfaat dan sejauh mana kehidupan mereka bertambah baik?” katanya.

Menurut beliau, pendekatan berorientasikan impak itu penting bagi memastikan RISDA terus relevan dan diyakini sebagai agensi yang memperjuangkan kepentingan desa serta pekebun kecil.

“Di situlah letaknya maruah RISDA. Bukan sekadar pada sejarah atau saiz agensi, tetapi pada keupayaan kita sebagai agensi penyampai sistem perkhidmatan kerajaan yang benar-benar membawa perubahan kepada kehidupan komuniti desa dan pekebun kecil,” katanya.

Beliau berkata RISDA akan terus memastikan pelaksanaan program dilakukan secara cekap, berintegriti dan berorientasikan hasil demi kesejahteraan rakyat, khususnya golongan pekebun kecil dan masyarakat luar bandar. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO