Klinik Rakyat DUN Behrang Jadi Ruang Warga Sampaikan Aduan
BEHRANG, 30 Sept – Klinik Rakyat DUN Behrang terus menjadi ruang terbuka kepada masyarakat untuk menyampaikan pelbagai perkara berkaitan keperluan, kebajikan dan urusan harian mereka kepada wakil rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin berkata, setiap Rabu, pintu Klinik Rakyat DUN Behrang dibuka bagi menerima kunjungan warga setempat yang hadir membawa pelbagai isu untuk mendapatkan perhatian dan tindakan.
Menurut beliau, antara perkara yang diketengahkan masyarakat termasuk urusan keluarga, kebajikan, dokumentasi, keperluan setempat serta isu-isu lain yang memerlukan perhatian.
“Macam-macam cerita dibawa masuk. Setiap satu didengar, dicatat dan cuba dicari jalan penyelesaian mengikut saluran yang betul,” katanya menerusi hantaran di media sosial. Tanggungjawab sebagai wakil rakyat bukan sekadar hadir dalam program rasmi, sebaliknya turut memastikan suara dan permasalahan masyarakat didengar serta diberikan perhatian sewajarnya,” katanya.
Beliau pada masa yang sama turut mengakui tidak semua masalah dapat diselesaikan serta-merta, namun setiap individu yang hadir berhak mendapat perhatian dan jawapan terhadap perkara yang dibawa.
“Inilah antara amanah yang paling besar bila diberi kepercayaan mewakili masyarakat. Tak semua masalah boleh selesai pada waktu itu juga, tetapi setiap yang datang berhak mendapat perhatian dan jawapan,” katanya.
Beliau pada masa sama mendoakan agar segala urusan warga DUN Behrang dipermudahkan serta berharap Klinik Rakyat terus menjadi penghubung antara masyarakat dengan saluran penyelesaian yang sewajarnya.- UMNO Online
