Hafiz Terus Santuni Masyarakat, Jayakan Hasrat Komuniti Setempat
KAHANG, 30 Sept – Hasrat anak muda di Ladang Mutiara untuk mendapatkan kemudahan sukan yang lebih selesa akhirnya direalisasikan menerusi penambahbaikan gelanggang futsal di kawasan berkenaan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sembrong yang juga Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin berkata, permintaan itu disuarakan anak-anak muda ketika beliau turun padang ke Ladang Mutiara pada penghujung tahun lalu.
Menurut beliau, keadaan permukaan gelanggang ketika itu sudah tidak lagi sesuai digunakan dengan selesa kerana mengalami kerosakan dan memerlukan penambahbaikan.
“Anak-anak muda di sini memohon supaya gelanggang futsal ini ditambah baik kerana keadaannya sudah teruk. Alhamdulillah, dengan kelulusan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, hasrat itu akhirnya berjaya direalisasikan. Hari ini gelanggang sudah siap dan boleh digunakan,” katanya.
Beliau berkata, kemudahan yang dinaik taraf itu bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan muda di Ladang Mutiara, malah turut digunakan komuniti Orang Asli serta penduduk kampung-kampung sekitar Kahang.
Menurut Hafiz, perkara lebih membanggakan ialah anak-anak muda setempat sendiri mengambil tanggungjawab mengurus dan memastikan kemudahan tersebut dimanfaatkan dengan sebaiknya.
Katanya, kemudahan sukan seperti gelanggang futsal mampu menjadi platform untuk menggalakkan aktiviti sihat selain mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti setempat.
Katanya lagi kemeriahan penggunaan gelanggang berkenaan turut diserikan dengan pertandingan sepak takraw yang menghimpunkan masyarakat setempat.
“Paling saya kagum, anak-anak muda sendiri yang uruskan gelanggang ini. Manfaatnya bukan hanya untuk anak muda Ladang Mutiara, tetapi turut sampai kepada komuniti Orang Asli dan kampung-kampung sekitar Kahang. Terima kasih kepada Ahli Parlimen dan kepimpinan setempat. Syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat,” katanya.
Hafiz berharap kemudahan berkenaan terus dimanfaatkan secara aktif oleh masyarakat serta menjadi pemangkin kepada lebih banyak aktiviti sukan dan kemasyarakatan di kawasan Sembrong.- UMNO Online
