Bil Elektrik Melambung… Sampai Bila Rakyat Nak Terbeban?
KUALA LUMPUR, 30 Sept – Pengguna khususnya golongan isi rumah wajar diberikan penjelasan yang lebih jelas berhubung peningkatan bil elektrik yang dirasakan semakin membebankan, kata Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin.
Menurut beliau, berdasarkan rungutan dan aduan, persoalan utama rakyat bukan semata-mata mengenai penggunaan elektrik, tetapi mengapa bil yang diterima dilihat semakin tinggi walaupun corak penggunaan harian tidak banyak berubah.
“Penggunaan elektrik macam biasa, tetapi bila bil sampai, jumlahnya pula makin melambung.
“Belum sempat rakyat nak lega dengan tekanan kos sara hidup, bil elektrik pula datang buat kita tarik nafas panjang,” katanya.

Beliau berkata, rakyat tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya mahukan penerangan yang mudah difahami mengenai struktur caj dan faktor yang menyebabkan perubahan jumlah bil.
“Tak apalah, jangan salahkan sesiapa. Tetapi rakyat berhak bertanya, sampai bila kos nak terus melambung macam ini?
“Kalau penggunaan sama, tetapi jumlah bil berubah dengan ketara, sudah tentu pengguna akan tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku pada bil mereka,” katanya.
Tengku Azman turut mempersoalkan sama ada pengguna perlu mengurangkan penggunaan peralatan asas di rumah semata-mata untuk mengawal bil elektrik.
“Rakyat faham penggunaan elektrik perlu dikawal dan langkah berjimat memang penting. Tetapi jangan sampai keluarga terpaksa terlalu berkira untuk menggunakan keperluan asas di rumah,” katanya.
Beliau berkata isu tersebut perlu dilihat dari sudut kemampuan rakyat, khususnya ketika kos keperluan harian masih menjadi perhatian ramai.
“Bagi sesetengah keluarga, tambahan puluhan ringgit sebulan mungkin nampak kecil. Tetapi apabila dicampurkan dengan sewa atau ansuran rumah, makanan, pengangkutan, pendidikan anak dan keperluan lain, ia tetap memberi kesan kepada perbelanjaan bulanan.
“Rakyat mahu tahu apakah langkah yang boleh memastikan kos elektrik kekal terkawal dan tidak menambah tekanan kepada isi rumah,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 18 September lalu memaklumkan aras perlindungan bil elektrik bagi pelanggan domestik dinaikkan daripada 600 kWj kepada 800 kWj sebulan bagi tempoh penggunaan 1 September hingga 31 Disember 2026. Pengguna domestik dengan penggunaan 800 kWj dan ke bawah menikmati pengecualian AFA, caj peruncitan dan cukai perkhidmatan.
Bagaimanapun, Tengku Azman berkata langkah perlindungan tersebut perlu disertai penerangan yang lebih jelas supaya pengguna memahami bagaimana bil mereka dikira.
“Yang penting ialah ketelusan. Rakyat nak tahu apa yang mereka bayar, kenapa mereka bayar dan bagaimana jumlah itu dikira.
“Jangan sampai setiap kali bil sampai, rakyat hanya mampu tengok jumlah akhir dan tertanya-tanya apa yang menyebabkan kenaikan tersebut,” katanya.
Beliau menegaskan, isu bil elektrik bukan sekadar soal angka di atas kertas, tetapi berkait secara langsung dengan perbelanjaan bulanan setiap keluarga.
“Selepas ini apa pula? Rakyat perlu kurangkan lagi penggunaan lampu, kipas dan aircond?
“Rakyat bukan minta elektrik percuma. Rakyat cuma mahu kos yang munasabah, sistem yang telus dan penjelasan yang mudah difahami,” katanya lagi. – UMNO Online
