UMNO Putatan Terjemah Agenda Malaysia Biru Dengan Sikap Peduli Rakyat

PUTATAN, 30 Sept – Gagasan Agenda Malaysia Biru perlu diterjemahkan melalui gerak kerja yang dekat dengan rakyat, termasuk membudayakan sikap peduli, menyantuni mereka yang ditimpa musibah serta membantu golongan yang berdepan kesusahan.

Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed berkata, gagasan yang dibawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi Perhimpunan Agung UMNO lalu, perlu diterjemahkan dari peringkat nasional hingga ke akar umbi agar manfaat dan semangatnya dapat dirasai masyarakat.

“Agenda yang besar mesti bermula dengan rakyat. Kita turun melihat sendiri keadaan mereka, mendengar masalah dan cuba usahakan apa yang mampu untuk membantu,” katanya ketika meninjau sebuah rumah di Kampung Meruntum, Putatan, yang mengalami kerosakan apabila bahagian bilik dan kamar mandinya roboh.

Katanya, kunjungan itu memberi ruang kepada beliau untuk melihat sendiri keadaan penghuni rumah berkenaan serta mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh diusahakan bagi mengurangkan beban mereka.

“Insya-Allah, kita akan cuba usahakan bantuan mana yang boleh bagi mengurangkan sedikit beban penghuni rumah ini,” katanya.

Pendekatan sedemikian, menurut Jeffery, mencerminkan kepentingan gerak kerja akar umbi yang bukan sekadar hadir ketika berlaku sesuatu isu, tetapi sentiasa mendekati masyarakat dan memahami realiti kehidupan mereka.

Dalam kunjungan berasingan, beliau turut menziarahi tiga keluarga yang kehilangan insan tersayang, masing-masing dua keluarga di Kampung Contoh dan sebuah keluarga di Kampung Petagas.

Beliau menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga yang berduka serta mendoakan agar roh insan yang telah pergi ditempatkan bersama golongan beriman dan mendapat rahmat Allah SWT.

Bagi Jeffery, budaya menyantuni rakyat ketika berdepan ujian perlu terus diperkukuh kerana kesejahteraan masyarakat bukan hanya berkaitan aspek pembangunan dan ekonomi, tetapi turut merangkumi nilai kebersamaan, keprihatinan serta kepedulian sesama anggota masyarakat.

“Semangat inilah yang perlu diterjemahkan melalui gerak kerja UMNO di peringkat bahagian dan cawangan, khususnya dengan memastikan parti terus berada dekat dengan rakyat serta responsif terhadap keperluan mereka.”

Jelasnya, Agenda Malaysia Biru turut membawa gagasan untuk membentuk Malaysia yang lebih sejahtera dan peduli, dengan aspirasi besar perlu diterjemahkan melalui tindakan dan hasil yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Justeru, gerak kerja UMNO Putatan menjadi sebahagian daripada usaha menghubungkan gagasan nasional itu dengan realiti masyarakat di akar umbi iaitu daripada menziarahi keluarga yang berduka sehinggalah melihat keadaan kediaman rakyat yang memerlukan perhatian.

“Bagi kita di akar umbi, inilah cara untuk kita menjayakan Agenda Malaysia Biru iaitu terus dekat dengan rakyat, peduli dengan keadaan mereka dan berusaha membantu sedaya yang termampu,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO