Kerugian UiTM Holdings Bukan Bukti Songlap, Jangan Fitnah UMNO – Musliati

KOTA KINABALU, 30 Sept – Exco Wanita UMNO, Datuk Musliati Moslimin menolak dakwaan yang mengaitkan UMNO dengan isu kerugian yang dialami UiTM Holdings Sdn Bhd, sambil menegaskan bahawa kerugian pelaburan tidak boleh disamakan dengan perbuatan menyeleweng atau mengambil wang untuk kepentingan peribadi.

Menurut beliau, terdapat perbezaan yang jelas antara istilah ‘songlap’, ‘sakau’ dan kerugian dalam konteks pengurusan sesuatu pelaburan.

“Songlap atau sakau bermaksud duit masuk ke poket individu yang melakukan perbuatan tersebut.

“Kalau kerugian pula, ia adalah keadaan apabila sesuatu pelaburan yang dijana tidak mendatangkan keuntungan seperti yang diharapkan.

“Jangan campur adukkan antara kerugian pelaburan dengan dakwaan mengambil atau menyeleweng wang,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu berkata demikian susulan isu kerugian UiTM Holdings Sdn Bhd yang dikaitkan dengan UMNO.

Musliati berkata, isu kerugian tersebut perlu dilihat berdasarkan tempoh dan perjalanan pelaburan berkenaan, bukannya dijadikan asas untuk membuat tuduhan bahawa UMNO telah ‘songlap’ atau mengambil wang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Menurut beliau, kerugian tersebut bermula kira-kira setahun sebelum Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU), sebelum perkara berkenaan berterusan melalui beberapa perubahan pentadbiran kerajaan selepas itu.

“Kerugian bermula setahun sebelum BN kalah dalam PRU, kemudian bersambung pada zaman PH, PN dan kembali kepada PH semula.

“Jadi, dari sudut mana boleh dikatakan atau dituduh bahawa UMNO telah songlap duit pelajar UiTM?

“Ini satu perkara yang perlu dijelaskan dengan fakta dan bukan dengan tuduhan yang boleh mencetuskan persepsi serta fitnah terhadap UMNO,” katanya.

Dalam pada itu, Musliati mengingatkan bahawa UMNO mempunyai sejarah panjang dalam memperjuangkan penubuhan dan kelangsungan UiTM sebagai institusi pendidikan tinggi yang memberi ruang dan peluang kepada golongan Melayu serta Bumiputera.

“Jangan lupa, UMNO yang memperjuangkan penubuhan UiTM untuk Melayu dan Bumiputera.

“Berpuluh-puluh tahun UMNO dan BN memastikan UiTM dijaga identitinya serta terus menjadi institusi penting untuk golongan Bumiputera,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa sebarang isu berkaitan pengurusan atau prestasi pelaburan perlu dibincangkan berdasarkan fakta, rekod dan tempoh masa yang tepat, bukannya melalui tuduhan yang mengaitkan keseluruhan parti dengan perbuatan yang tidak dibuktikan.

Musliati turut menyeru semua pihak supaya tidak menggunakan isu kerugian UiTM Holdings sebagai ruang untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap UMNO, khususnya dengan mengaitkannya secara langsung dengan dakwaan penyelewengan wang pelajar.

“Kalau ada persoalan mengenai kerugian, kita bincangkan kerugian. Kalau ada dakwaan penyelewengan, kemukakan bukti.

“Jangan kerana berlaku kerugian dalam sesuatu pelaburan, terus menuduh UMNO songlap duit pelajar. Itu adalah dua perkara yang berbeza,” katanya LAGI. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO