Kenyataan Bagi Pihak Najib Razak

1. Kenyataan ini dikeluarkan bagi pihak anak guam kami, Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak. Terlebih dahulu, anak guam kami menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, atas perkenan Seri Paduka Baginda melaksanakan kuasa prerogatif pengampunan diraja untuk beliau, dengan memperkenankan pengampunan bersyarat yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.

2. Anak guam kami menerima keputusan Seri Paduka Baginda dengan penuh kesyukuran dan kerendahan hati.

3. Anak guam kami turut merakamkan penghargaan kepada Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan atas pertimbangan yang diberikan terhadap permohonan beliau.

4. Pengampunan yang diperkenankan adalah pengampunan bersyarat. Sepertimana yang dinyatakan dengan jelas dalam pengumuman tersebut, pelaksanaan tahanan rumah bagi anak guam kami bergantung kepada pematuhan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Sementara itu, dan sehingga denda tersebut dibayar kepada mahkamah, anak guam kami kekal berada di dalam Penjara Kajang. Anak guam kami serta pasukan peguamnya kini sedang meneliti syarat-syarat tersebut serta implikasi praktikalnya.

 

5. Berhubung syarat pembayaran denda sebanyak Ringgit Malaysia Lima Puluh Juta (RM50,000,000.00), buat masa ini sebahagian besar aset, akaun bank dan hartanah anak guam kami masih tertakluk kepada perintah pembekuan dan tindakan penguatkuasaan oleh pihak kerajaan, dan pelupusannya tidak berada sepenuhnya dalam kawalan beliau pada masa ini. Keupayaan beliau untuk memenuhi syarat tersebut oleh itu bergantung, sebahagiannya, kepada perkara-perkara yang berada di luar kawalan beliau.

6. Dalam keadaan sedemikian, anak guam kami kini sedang mendapatkan nasihat dan mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada bagi menentukan cara terbaik untuk memenuhi syarat tersebut.

7. Anak guam kami amat tersentuh dengan limpahan sokongan yang diterima sejak pengumuman tersebut dikeluarkan. Beliau merakamkan penghargaan khusus kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, kepada ahli- ahli Majlis Tertinggi UMNO, serta kepimpinan dan ahli-ahli UMNO dan Barisan Nasional di semua peringkat, yang sentiasa berdiri teguh bersama beliau.

8. Anak guam kami turut berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah tampil untuk menawarkan bantuan bagi memenuhi syarat yang ditetapkan. Beliau merasa amat bersyukur dan terharu bahawa begitu ramai yang ingin memberi sokongan dan berdiri bersama beliau.

9. Walaupun anak guam kami amat terharu dengan ungkapan solidariti ini, beliau tidak mahu sesiapapun, tidak kiralah Parti, ahli-ahli dan penyokongnya, mahupun orang ramai, berasa terbeban atau terikat dengan sebarang kewajipan atas nama beliau. Beliau tetap amat berterima kasih kepada mereka yang, atas kerelaan sendiri dan mengikut kemampuan masing-masing, telah memilih untuk menghulurkan sokongan dan bantuan. Keikhlasan mereka merupakan sumber kekuatan yang amat besar kepada beliau sejak dari dahulu sehingga hari ini.

10. Anak guam kami sesungguhnya dan seikhlas hati mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli keluarga, sahabat handai serta semua yang sentiasa mendoakan beliau, dan beliau memohon agar privasi keluarga beliau dihormati.

11. Pihak kami tidak akan mengulas lanjut buat masa ini.

OLEH:
Tetuan Shafee & Co. Peguambela dan Peguamcara bagi Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO