Pemuda UMNO Jempol Zahir Kesyukuran, Junjung Kasih Perkenan Tahanan Rumah – Izwan Kamar

KUALA LUMPUR, 19 Sept — Pemuda UMNO Bahagian Jempol menzahirkan kesyukuran atas keputusan yang membolehkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jempol, Mohd Izwan Kamar Badri berkata, perkembangan itu disambut dengan penuh kesyukuran selepas melalui perjalanan yang panjang.

“Alhamdulillah… setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT atas perkembangan ini. Pemuda UMNO Bahagian Jempol turut merafak sembah menjunjung kasih ke hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar atas perkenan berhubung perkara berkenaan.

“Perkenan tersebut diharapkan membawa rahmat, kelegaan serta sinar harapan baharu kepada Najib Razak dan seluruh keluarganya selepas melalui pelbagai cabaran.

“Semoga keputusan ini membawa rahmat, kelegaan dan sinar harapan buat beliau (Najib) serta keluarga,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Izwan dalam tempoh mendatang, berharap Najib Razak terus diberikan kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi segala urusan berkaitan baki hukuman yang perlu dijalani.

“Semoga Allah SWT terus mengurniakan kekuatan, ketabahan dan mempermudahkan setiap urusan serta diberikan ketenangan dalam menjalani baki hukuman berkenaan mengikut ketetapan dan syarat yang ditetapkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Izwan turut mendoakan agar Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, sentiasa berada dalam limpahan rahmat dan perlindungan Allah SWT.

“Semoga Allah SWT sentiasa melimpahkan rahmat, kesejahteraan, kesihatan dan kebijaksanaan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim,” katanya.

“Semoga Allah SWT memelihara Tuanku dan keluarga dalam lindungan-Nya. Daulat Tuanku,” jelasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO