Wanita UMNO Junjung Kasih, Sambut Keputusan Tahanan Rumah Najib
KUALA LUMPUR, 18 Sept — Wanita UMNO Malaysia menyambut dengan penuh kesyukuran keputusan yang membolehkan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Dalam kenyataan hari ini, Wanita UMNO turut merafak sembah menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas limpah perkenan Baginda berhubung keputusan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, perkembangan tersebut memberi kelegaan kepada Najib, keluarganya serta anggota UMNO yang selama ini mendoakan beliau.
Wanita UMNO turut menyatakan sokongan terhadap inisiatif parti seperti diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, untuk melancarkan Tabung
Sumbangan bagi membantu Najib melunaskan denda berjumlah RM50 juta.
Ketua Wanita UMNO menyeru seluruh kepimpinan dan ahli Wanita UMNO di semua peringkat supaya bersama-sama membantu meringankan beban Najib dan keluarganya dengan memberikan sumbangan secara sukarela mengikut kemampuan melalui saluran rasmi yang akan diumumkan parti.
“Marilah kita menyambut perkembangan ini dengan penuh tertib, menjaga adab dan terus menghormati segala proses serta syarat yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Wanita UMNO turut menegaskan bahawa sebarang sumbangan hendaklah dibuat melalui saluran rasmi yang akan diumumkan oleh parti. – UMNO Online
