Wanita UMNO Pahang, Terengganu Teguh Hormati Proses Pengampunan Najib
KUALA LUMPUR, 17 Sept — Wanita UMNO Pahang dan Terengganu menegaskan pendirian untuk menghormati hak perlembagaan serta proses pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Razak, selaras dengan prinsip Raja Berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
Ketua Wanita UMNO Pahang, Senator Norhasmimi Abdul Ghani berkata, jika Perlembagaan menyediakan mekanisme pengampunan, maka mekanisme tersebut hendaklah dihormati sebagai sebahagian daripada sistem keadilan dan Raja Berperlembagaan negara.
Menurutnya, prinsip berkenaan tidak seharusnya dilihat berdasarkan pangkat, kedudukan, bangsa atau warna kulit seseorang.
Sehubungan itu, katanya, Wanita UMNO Pahang berdiri teguh mempertahankan dan menyokong permohonan pengampunan Dato’ Sri Najib tanpa merendahkan institusi kehakiman, menafikan sabitan mahkamah atau mencabar Perlembagaan.
“Pada akhirnya nanti, keputusan mengenai permohonan tersebut adalah dalam ruang proses perlembagaan yang telah ditetapkan.
“Apa yang dituntut hanyalah supaya proses itu dihormati, tidak dipolitikkan secara melampau dan tidak didahului dengan tekanan atau keputusan di luar saluran yang sah, di samping kita terus menghormati prerogatif pengampunan yang diberikan oleh Perlembagaan,” katanya.
Sementara itu, Wanita UMNO Terengganu turut menegaskan bahawa proses kehakiman dan proses pengampunan merupakan dua mekanisme yang berbeza dalam kerangka perlembagaan negara.
Dalam kenyataannya, Wanita UMNO Terengganu berkata hak untuk memohon pengampunan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai menolak atau mempertikaikan keputusan mahkamah, sebaliknya permohonan pengampunan merupakan suatu proses yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan sewajarnya diberikan ruang untuk berjalan menurut lunas Perlembagaan.
Wanita UMNO Terengganu pada masa sama mengingatkan semua pihak supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh dilihat sebagai mendahului proses berkenaan, selain memastikan perbezaan pandangan tidak menghakis kemuliaan institusi Yang di-Pertuan Agong dan prinsip Raja Berperlembagaan.
Kedua-dua Wanita UMNO negeri itu turut menegaskan kepentingan menghormati keputusan mahkamah, institusi Raja Berperlembagaan serta proses pengampunan yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan. – UMNO Online
