Lawatan Kerja Ahmad Zahid Kukuh Hubungan Malaysia-Indonesia

KUALA LUMPUR, 17 Sept – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi memulakan lawatan kerja ke Jakarta, Republik Indonesia bagi memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan Indonesia.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata lawatan tersebut memberi tumpuan dalam pelbagai bidang strategik demi kepentingan serta kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.

“Alhamdulillah, selamat tiba di Jakarta, Republik Indonesia bagi memulakan lawatan kerja yang memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan lagi hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia.

“Lawatan kali ini menjadi kesinambungan kepada usaha memperluas kerjasama dalam beberapa bidang strategik termasuk industri halal, pembangunan desa, pengurusan bencana serta pendidikan dan TVET,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ketibaan beliau disambut mesra oleh Dr. Ir. Ahmad Haikal Hassan, Kepala Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Republik Indonesia; TYT Datuk Muzafar Shah Mustafa dan perwakilan Malaysia.

Ahmad Zahid turut memaklumkan akan mengadakan kunjungan hormat kepada Wakil Presiden Republik Indonesia, YM Gibran Rakabuming Raka bagi membincangkan beberapa perkara berkepentingan bersama yang melibatkan kedua-dua negara.

Beliau juga turut dijadualkan menyertai Sidang Kemuncak Halal 20 (H20) Ke-5, termasuk menyampaikan ucaptama serta mengambil bahagian sebagai panel dalam sesi forum yang memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama dan ekosistem halal serantau.

“Sama-sama kita doakan agar setiap pertemuan dan perbincangan yang berlangsung dapat diterjemahkan kepada hasil yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan Indonesia, sekali gus terus memperkukuh hubungan dua negara serumpun ini,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO