600kWh Sudah Lapuk, Wajib Nilai Semula – Armand Azha
KUALA LUMPUR, 17 Sept – Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah membidas pendekatan yang masih menjadikan had penggunaan elektrik 600 kilowatt-jam (kWh) sebagai penanda aras, sedangkan corak kehidupan dan keperluan isi rumah rakyat hari ini sudah jauh berubah.
Menurut beliau, kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menilai semula had tersebut dengan mengambil kira realiti kehidupan rakyat yang berdepan cuaca semakin panas serta peningkatan kebergantungan kepada peralatan elektrik asas.
“Buat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya ingin memaklumkan bahawa had penggunaan elektrik 600kWh perlu dinilai semula mengikut realiti kehidupan rakyat masa kini.
“600kWh mungkin relevan pada suatu ketika dahulu, tetapi persoalannya adakah ia masih relevan dengan kehidupan rakyat hari ini? Jawapannya tidak… mudah sahaja.
“Cuaca semakin panas, kebanyakan isi rumah sekurang-kurangnya mempunyai sebuah penghawa dingin, manakala penggunaan penapis atau dispenser air, peti sejuk, mesin basuh dan pelbagai peralatan elektrik asas sudah menjadi sebahagian daripada keperluan harian,” katanya.
Mengulas lanjut, Armand yang juga Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) mempersoalkan sama ada penggunaan elektrik bagi memenuhi keperluan asas keluarga wajar dilabelkan sebagai pembaziran hanya kerana penggunaannya melebihi paras tertentu.
“Persoalannya, adakah penggunaan elektrik untuk keperluan asas ini boleh dianggap sebagai pembaziran? Rakyat tidak sepatutnya dipaksa mencatu penggunaan elektrik semata-mata untuk memastikan penggunaan kekal di bawah paras 600kWh, sedangkan mereka menggunakan elektrik secara berhemah dan bukannya membazir.
“Belum lagi mengambil kira seruan kerajaan supaya rakyat melaksanakan Work From Home (WFH) yang sememangnya memerlukan penggunaan elektrik. Apabila kerajaan memperkenalkan sesuatu dasar, dasar itu seharusnya menyokong rakyat, bukannya secara tidak langsung menekan mereka yang mematuhinya,” ujarnya.
Beliau berkata, dasar tenaga negara perlu mengambil kira perubahan gaya hidup, keperluan semasa dan kemampuan rakyat, bukannya terlalu bergantung kepada angka yang mungkin tidak lagi mencerminkan keadaan sebenar.
“Dasar tenaga perlu berpijak pada realiti kehidupan rakyat, bukan sekadar angka di atas kertas.
“Yang perlu diperjuangkan ialah kecekapan tenaga, tarif yang adil dan kemampuan rakyat, bukannya menyukarkan rakyat mendapatkan keselesaan asas dalam kehidupan seharian,” tegasnya. – UMNO Online
