Program Hari Malaysia Jadi Wadah Perkukuh Perpaduan
JEMPOL, 17 Sept — Sambutan Hari Malaysia bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi wadah memperkukuh perpaduan, semangat kejiranan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, pelbagai program yang dianjurkan oleh komuniti sempena Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia membuktikan bahawa semangat perpaduan terus subur dalam kalangan rakyat.
Menurut beliau, penglibatan masyarakat berbilang kaum dalam aktiviti kemasyarakatan perlu terus digalakkan kerana ia menjadi asas kepada keharmonian dan kekuatan komuniti.

“Program seperti ini bukan sekadar memeriahkan sambutan Hari Malaysia, tetapi yang lebih penting ialah bagaimana kita dapat menghimpunkan rakyat, mengeratkan hubungan kejiranan dan membina semangat kebersamaan dalam komuniti.
“Perpaduan bukan hanya slogan, tetapi perlu diterjemahkan melalui kebersamaan dan penglibatan rakyat dalam program seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas pelbagai program tempatan yang berlangsung semalam termasuk Program Konvoi Perpaduan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Daerah Jempol sempena Hari Malaysia 2026.
Dalam pada itu, Mohd Zaidy turut merasmikan Majlis Sambutan Hari Malaysia 2026 di Dewan Orang Ramai Taman Seri Rompin, yang menghimpunkan KRT, Tabika Perpaduan, ibu bapa serta penduduk setempat.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi dan jawatankuasa KRT Taman Seri Rompin, guru-guru Tabika Perpaduan, para ibu bapa serta seluruh penduduk yang bersama-sama menjayakan sambutan tersebut.
“Apabila masyarakat turun bersama-sama, kita dapat melihat sendiri kekuatan komuniti yang terbina atas semangat saling menghormati dan bekerjasama tanpa mengira latar belakang.
“Inilah nilai yang perlu kita pertahankan dan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.
Selain itu, beliau turut hadir merasmikan Program Semarak Merdeka Komuniti MADANI sempena Hari Kebangsaan, Hari Malaysia dan Kembara Sihat ANMS di Dewan Terbuka Taman Kasih Putera.

Menurut Mohd Zaidy, pengisian yang menggabungkan semangat patriotisme, aktiviti kejiranan dan aspek kesihatan amat penting dalam membentuk komuniti yang bukan sahaja bersatu padu, malah aktif dan sejahtera.
“Kita mahu masyarakat bukan sahaja meraikan kemerdekaan dan Hari Malaysia, tetapi turut mengambil peluang untuk membina hubungan sesama jiran serta mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.
“Apabila rakyat bersatu, aktif dan saling mengambil berat, kita dapat membina komuniti yang lebih kuat dan berdaya tahan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan pelbagai program yang dilaksana atas semangat kekeluargaan.
Katanya, kerjasama antara KRT, persatuan penduduk, agensi kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat setempat perlu diteruskan bagi memastikan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat dapat dilaksanakan secara berterusan. – UMNO Online
